Home Diskusi #Diskusi: Kolumnis – Perolehan, penerimaan aset-aset baharu Tentera Darat rancakkan pelan pemodenan

#Diskusi: Kolumnis – Perolehan, penerimaan aset-aset baharu Tentera Darat rancakkan pelan pemodenan

by Zaki Salleh

Perubahan tampuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat (TD) turut berlaku bersama dengan kemajuan dalam program perolehan baharu apabila beberapa aset-aset yang dirancang angkatan tersebut akan diterima. Ini sudah pasti menjadi berita yang positif, malah menyuntik moral pada warga Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.

Dalam perubahan kepimpinan tersebut, TD kini diterajui Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan menggantikan Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang dilantik sebagai Panglima ATM.

Panglima Medan Barat, Lt Jen Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula mengambil alih sebagai Timbalan Panglima TD manakala Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dinaikkan pangkat untuk menggantikan tempat Muhammad Fauzi.

Pengumuman tentang perolehan dan penerimaan aset-aset baharu TD ini menunjukkan bahawa pelan pemodenan yang digariskan dalam TD beberapa tahun lalu sedang berjalan sepertimana dirancang.

Ini juga menunjukkan kelangsungan perancangan kepimpinan atasan TD terdahulu untuk melihat angkatan tersebut terus kredibel.

Sebagai tunjang utama pertahanan negara, TD bukan sahaja merupakan ketumbukan paling besar dalam cabang ATM tetapi juga mempunyai aset yang banyak serta pelbagai.

Sistem artileri CAESAR antara calon yang bersaing dalam tender perolehan SPH Tentera Darat

Meriam SPH gandakan kuasa tempur TD

Penantian 25 tahun TD untuk mendapatkan sistem artileri mudah gerak (SPH) bakal menjadi kenyataan apabila keputusan untuk memuktamadkan perolehan berkenaan kini pada fasa akhir. Pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memperincikan beberapa perkara yang mana proses tersebut dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Sekiranya pengumuman calon SPH dibuat awal tahun depan, maka berkemungkinan juga MINDEF akan memeterai perjanjian perolehan tersebut semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di Kuala Lumpur.  Jangkaan ini kerana DSA merupakan acara yang berkait rapat dengan kelengkapan pertahanan  tentera darat.

Perancangan TD ialah untuk memperoleh 18 unit meriam SPH berkaliber 155mm termasuk infrastruktur bagi kekuatan sebuah rejimen. Perolehan SPH merupakan antara projek yang menjadi keutamaan dalam meningkatkan keupayaan kuasa tembakan Rejimen Artileri Diraja (RAD).

Ketika ini RAD mengoperasikan dua jenis meriam iaitu kaliber 105mm dengan jarak tembakan sehingga 17 kilometer (km) manakala meriam 155mm pula sehingga 40km. Walaupun mempunyai kaliber sama, tetapi kelebihan sistem SPH 155mm ialah sifat mobiliti yang membolehkan meriam yang dipasang di atas kenderaan ini berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain dengan cepat.

Sistem SPH juga boleh dipadankan dengan operasi yang melibatkan ketumbukan kenderaan tempur seperti mekanise dan kereta kebal. Ciri-ciri pada sistem SPH juga memudahkan kenderaan ini dihantar ke mana-mana lokasi termasuk menggunakan kapal terbang pengangkutan.

Dua jenis SPH sebelum ini disebut-sebut bersaing untuk mendapatkan kontrak lumayan MINDEF ini iaitu Yavuz 155mm buatan Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) dari Turkiye dan SPH CAESAR 6×6 155mm yang dibangunkan syarikat Perancis, NEXTER Systems.

Walaupun perolehan YAVUZ dibatalkan sebelum ini, SPH dari Turkiye tetap bersaing untuk mendapat tempat dalam invetori Tentera Darat.

MKE merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turkiye dengan 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan negara manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye.

Kelebihan pada SPH CAESAR 155mm ialah ia telah mempunyai rakan strategik tempatan, Advanced Defence Systems Sdn. Bhd. (ADS) yang telah pun membina kemudahan di sini. NEXTER dan ADS pula sebelum ini berjaya memenangi perolehan 18 meriam 105mm LG1 MK III kepada TD.

Perolehan kenderaan perisai baharu

Kali terakhir MINDEF membuat perolehan kenderaan berperisai untuk TD ialah lapan tahun lalu apabila syarikat DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) diberi kontrak oleh kerajaan untuk menyediakan 20 unit kenderaan Lipan Bara bernilai RM140.98 juta.

Lipan Bara yang merupakan kenderaan perisai bermobiliti tinggi (HMAV) adalah projek usaha sama DEFTECH dan Chaiseri Metal & Rubber Co Ltd, Thailand. Mengikut cadangan asal, lebih banyak kenderaan Lipan Bara akan dibeli untuk kegunaan TD, namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Justeru, pengumuman perolehan kenderaan berperisai sebagai penambahan kenderaan berperisai bagi kegunaan Kor Armor Diraja (KAD) sudah pasti amat dinanti-nantikan. Perolehan ini dilakukan melalui Projek Perolehan 136 unit kenderaan perisai 4×4 dan infrastruktur.

Lipan Bara 4×4 dilengakpi dengan Gatling gun. Foto: Air Times/M Daim

Proses perolehan kenderaan tempur berperisai baharu itu telah diserahkan kepada Kementerian Pertahanan dan dijangka selesai pada Disember. Pada Bajet 2023, kerajaan meluluskan perolehan sebanyak RM2.049 bilion untuk membeli 136 kenderaan jenis A 4×4 dan kenderaan jenis B bagi pemodenan TD.

Tambahan pula pada bulan lalu, TD telah memindahkan 26 buah kenderaan perisai AV8 Gempita dari Semenanjung ke Sarawak bagi menampung keperluan pertahanan di sana. Aset  milik pasukan 1 Kor Armor Diraja di Kuantan, Pahang ini dipindahkan kepada Rejimen Keempat 4 Kor Armor Diraja di Kuching.

Pemindahan sejumlah AV8 Gempita ke Sarawak menandakan keperluan tambahan kenderaan tempur berperisai Tentera Darat Malaysia.

Proses pemindahan tersebut bermula 2 September seiring dengan Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat (Army 4NextG) 2021-2050. TD telah merancang untuk melengkapkan kenderaan perisai di dua wilayah melibatkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Memandangkan wilayah Semenanjung dan negeri Sabah telah dilengkapkan dengan kenderaan perisai baharu, maka penghantaran AV8 Gempita ke Sarawak secara langsung dapat mengimbangi keupayaan kenderaan secara holistik.

Pada tahun 2015, sebanyak 12 buah kenderaan AV8 Gempita milik pasukan mekanise TD diserahkan kepada pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan ditempatkan di Kem Kukusan, Tawau.

Kehadiran aset canggih itu bakal memberi taring berbisa kepada pasukan keselamatan di ESSCOM yang ketika itu sudah memiliki 18 buah kenderaan MIFV yang ditempatkan di Kota Belud. Pemindahan terrbaru ini juga menunjukkan fasa pemodenan aset TD di Malaysia Timur sedang berjalan mengikut perancangan.

MIFV merupakan kenderaan pengangkut berperisai yang menjadi tunjang elemen mekanise Tentera Darat. Foto: Air Times/M Daim

Menanti helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk

Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bakal menerima dua daripada empat buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk untuk operasinya pada Disember  ini atau Januari depan.

Penerimaan pesawat ini bakal memulakan operasi bagi Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD yang ditubuhkan pada tahun 2015 sebelum ini berpengkalan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang mengendalikan helikopter Sikorsky S-61A Nuri bekas kepunyaan TUDM.

Penempatan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD di Kuantan dilihat relevan bagi keperluan operasi TD memandangkan sebuah batalion Pasukan Aturgerak Cepat berada di pantai timur. Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) di Seberang Takir, Terengganu juga cenderung melakukan operasi secara hantaran menggunakan helikopter (heliborne).

Mungkinkah perolehan sejumlah kecil Black Hawk akan mencetuskan penambahan baharu di masa hadapan?

PUTD mempunyai dua buah lagi rejimen iaitu Rejimen 881 yang mengendalikan helikopter A109 dan Rejimen 883 dengan enam buah helikopter MD530G.

Sebelum dua Black Hawk ini diterima, TD akan menghantar 14 juruterbang daripada pasukan tersebut bagi latihan menggunakan simulator untuk mengendalikan Black Hawk di Turkiye pada Oktober ini.

Imbas kembali, perolehan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk secara sewaan ini diumumkan mantan Panglima TD, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain semasa merasmikan penubuhan Rejimen 883 PUTD di Kem Mahkota, Kluang, Johor pada Mac lalu.

Perolehan helikopter buatan Amerika Syarikat itu adalah berdasarkan kepada kehendak dan keperluan PUTD yang memerlukan helikopter utiliti serta dapat melakukan operasi menghantar anggota ke barisan hadapan.

Kontrak sewaan sebelum ini telah dimeterai MINDEF pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 dengan syarikat Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. (Aerotree Defence) bernilai RM187 juta.

Helikopter dengan kokpit penerbangan digital ini juga telah dinaik taraf dan mampu melakukan penerbangan taktikal pada waktu malam serta dalam sebarang keadaan cuaca. Justeru, pengoperasian Sikorsky UH-60A+ Black Hawk ini nanti boleh memberi bayangan pada jenis pesawat yang diperlukan PUTD dalam tempoh akan datang.

Perubahan tampuk kepimpinan Tentera Darat Malaysia diharapkan akan membawa lebih banyak perubahan.

Keperluan aset baharu elak ketinggalan

Pada Bajet 2023, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4 billion kepada MINDEF untuk pembelian aset pertahanan baharu. Jumlah ini sebenarnya terhad dan tidak mencukupi apabila melibatkan ketiga-tiga cabang ATM.

Dalam soal pertahanan, pemodenan dan pembangunan aset khususnya TD sentiasa dilakukan seiring dengan perkembangan teknologi pertahanan semasa.

Cumanya, bajet yang terhad menyebabkan perolehan aset baharu berjalan sangat perlahan.

Usaha berterusan ini adalah mengikut pelan pembangunan TD yang dirancang. Sebelum ini

pelan strategik ‘Army 2 10 plus 10’ dirangka dalam menggapai program pembangunan strategik 4 dimensi ATM(4D MAF).

Rancangan semasa pula adalah sepertimana digariskan pada Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Tentera Darat (Army 4NextG) 2021-2050.

Pelan ini dirangka bagi tempoh 30 tahun sebagai rancangan strategik jangka masa panjang TD berdasarkan keupayaan untuk beroperasi secara serentak di dua wilayah.

Related Articles

Leave a Reply