Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Pindah Gempita dari Kuantan ke Kuching, Tentera Darat tingkat keperluan operasi di Malaysia Timur

#Pertahanan: Pindah Gempita dari Kuantan ke Kuching, Tentera Darat tingkat keperluan operasi di Malaysia Timur

by Nurulhuda

LUMUT, 2 SEPT – Tentera Darat Malaysia (TDM) buat julung kalinya, telah melaksanakan fasa pemindahan masuk kenderaan Perisai Gempita ke KD MAHAWANGSA di Tambatan Pangkalan Lumut pada Rabu lalu.

KD MAHAWANGSA telah dipilih sebagai platform penghantaran logistik dalam proses pindah alih KP Gempita antara Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD), Kuantan dan Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) di Kuching.

Pemindahan itu dipercayai melibatkan lebih daripada 20 buah kenderaan perisai Gempita.

Pihak KD Mahawangsa menjelaskan, pemindahan ini secara tidak langsung menyaksikan kesepaduan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan TDM dalam melaksanakan sesuatu misi secara bersama.

“Tidak hanya menguji keupayaan aset angkatan laut dan darat, fasa pemindahan dan pindah alih ini juga adalah hasil manifestasi kerjasama TLDM serta TDM yang menyaksikan kesepaduan kedua-dua perkhidmatan dalam melaksanakan misi bersama bagi memastikan kedaulatan negara terus terbela dan terpelihara,

“Fasa seterusnya adalah pelayaran KD Mahawangsa ke Kuching dijangka pada awal September ini,” jelas pihak KD Mahawangsa menerusi satu hantaran di media sosialnya.

Sementara itu, Kor Armor Diraja (KAD) memaklumkan, Pengarah Kor Armor Diraja, Brigedier Jeneral Mohd Fazly Mat Said telah menyaksikan acara Perbarisan Serah Terima Kenderaan Perisai Gempita di antara 1 KAD dan 4 KAD pada 16 Ogos lalu.

Majlis telah diadakan di Padang Kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Turut dilaksanakan acara penyerahan replika kenderaan perisai Gempita telah diadakan di antara Pegawai Memerintah 1 KAD, Leftenan Kolonel Zainal Azli Ismail dan Pegawai Memerintah 4 KAD, Leftenan Kolonel Ts. Dr. Wong Wai Loong.

Jelasnya, perbarisan ini merupakan acara simbolik apabila TDM telah bersetuju untuk membuat pemindahan Kereta Perisai 8X8 GEMPITA daripada 1 KAD kepada 4 KAD bagi menampung keperluan operasi, latihan dan kompitensi krew 4 KAD, Makas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

“Perpindahan akan dilaksanakan dalam 2 peringkat menggunakan perkhidmatan kapal TLDM iaitu KD MAHAWANGSA mulai bulan September dan dijangka selesai pada pertengahan bulan Oktober 2023,” jelas pihak KAD lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply