Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Maritim Malaysia dan U.S. Coast Guard laksana latihan bersama di perairan Laut China Selatan

#Keselamatan: Maritim Malaysia dan U.S. Coast Guard laksana latihan bersama di perairan Laut China Selatan

by M.Daim

KUANTAN, 29 OGOS – Kehadiran kapal Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (U.S. Coast Guard, USCG), USCGC MUNRO ke Malaysia mengeratkan lagi kerjasama keselamatan maritim antara kedua-dua negara.

Kapal cutter kelas Legend itu telah melaksanakan latihan bersama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sekitar perairan Laut China Selatan semenjak 26 Ogos hingga hari ini.

“Kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG adalah satu langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan perairan. Latihan ini adalah contoh kerjasama erat dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pegawai dari kedua-dua agensi,” jelas Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid.

Menurut beliau, latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek berkaitan penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut di rantau ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata,  antara aktiviti yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak adalah latihan penggeledahan (interdiction) dan Damage Control Fire Fighting (DCFF).

“Maritim Malaysia juga dijemput untuk membuat lawatan di atas kapal USCGC Munro bagi melihat sendiri keupayaan serta kelengkapan kapal tersebut,

“Ianya bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai dan anggota yang terlibat terhadap aspek kesiapsiagaan dan operasi penguatkuasaan maritim,” kata kenyataan itu.

Semalam, Air Times bersama beberapa agensi media tempatan hadir ke kapal USCGC MUNRO bagi melihat sendiri kapal sepanjang 127 meter itu di Kuantan.

Kehadiran USCGC MUNRO merupakan jalinan kerjasama antara Maritim Malaysia dan US Coast Guard dalam hal keselamatan serta penguatkuasaan maritim. Foto: Maritim Malaysia

Dalam pada itu, Charge d’Affaires (Kuasa Usaha) Kedutaan Amerika Syarikat, Manu Bhalla menyatakan kehadiran kapal USCGC MUNRO adalah contoh perkongsian kukuh antara Amerika Syarikat dan Malaysia dalam hal mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kedua-dua negara bekerjasama dalam kesedaran domain maritim, latihan bersama, memerangi penangkapan ikan yang haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal, serta usaha penguatkuasaan undang-undang yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, pegawai memerintah kapal, Kapten Rula F. Deisher menyatakan rasa gembira kerana berpeluang untuk menjalinkan kerjasama dengan Maritim Malaysia.

Latihan mengawal kebakaran merupakan antara aktiviti yang dilaksanakan secara bersama oleh Maritim Malaysia dan US Coast Guard. Foto: Maritim Malaysia

“Kami teruja dengan aktiviti bersama di laut yang bakal dilakukan sambil merapatkan jalinan kebolehoperasian kedua-dua belah pihak,” katanya.

Kehadiran kapal USCGC MUNRO ke Malaysia merupakan pertama kali diadakan selepas wabak COVID-19 melanda. Kali terakhir kapal US Coast Guard hadir ke negara ini adalah pada tahun 2019.

Pada ketika itu, kapal USCGC STRATTON tiba di Lumut bagi menyertai latihan bersama Tentera Laut Amerika Syarikat (U.S Navy) dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Maritime Training Activity (MTA) Malaysia 2019. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!