Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Eks KERIS AMAN II persiapkan pasukan pengaman hadapi cabaran jalani misi yang sukar

#Pertahanan: Eks KERIS AMAN II persiapkan pasukan pengaman hadapi cabaran jalani misi yang sukar

by M.Daim

PORT DICKSON, 28 OGOS – Ketua Staf Markas Angkatan Bersama (MkAB), Mejar Jeneral Fazal Abdul Rahman menegaskan misi pasukan pengaman pada era masa kini dilihat lebih mencabar.

Menurut beliau, mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah semakin meluas dan kompleks.

“Selain melaksanakan mandat, pasukan pengaman telah diberikan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang luas,

“Misi pengaman melibatkan pemerhatian gencatan senjata yang sudah menjadi tradisi tidak semestinya efektif,

“Ini kerana keadaan iklim keselamatan semasa semakin sukar terutamanya dalam mengenal pasti peperangan, konflik dan pergerakan umum yang berlaku di kawasan misi,” katanya dalam ucapan penutup Multinational Peacekeeping Exercise 2023 (MPE 23)/Eksesais KERIS AMAN II di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD), Port Dickson, 26 Ogos lalu.

Beliau menambah, evolusi ancaman lain seperti ekstremisme, kegiatan pengganas dan jenayah terancang antarabangsa memberikan kesan tersendiri kepada misi.

“Situasi ini telah mewujudkan keperluan kepada anggota pengaman untuk terlibat dalam keselamatan dan perlindungan orang awam dari ancaman pengganas serta jenayah terancang,

“Ini terutamanya dalam melindungi wanita dan kanak-kanak yang terdedah sebagai mangsa kegiatan ini,” ujar beliau.

Tambahnya, latihan pasukan pengaman pada hari ini perlu memberikan penekanan kepada anggota yang terlibat untuk memiliki kemahiran dari segi komunikasi, kesedaran jantina dan budaya.

Fazal menambah, perkara ini perlu dilakukan memandangkan operasi pengaman pada hari ini melibatkan pelbagai aktiviti dengan institusi, organisasi, perkhidmatan komuniti dan sosial serta interaksi bersama penduduk tempatan.

MPE 23/Eks KERIS AMAN II dilaksanakan di Port Dickson semenjak 13 Ogos lalu melibatkan penyertaan 849 anggota tentera dari 26 buah negara.

Beliau menyatakan misi pengaman melibatkan anggota dari pelbagai organisasi dan negara serta latar belakang.

Jelasnya, latihan yang diadakan adalah platform yang terbaik bagi mempertingkatkan kemahiran dan keupayaan anggota pengaman.

“Eksesais ini merupakan jalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran bersama,

“Pengalaman yang dikutip dari eksesais pelbagai negara adalah amat berharga dan bernilai,

“Ia memberikan pendedahan, pengalaman dan pengajaran yang akan menjadi panduan bagi menghadapi situasi di masa hadapan,” ujar beliau.

MPE 23/Eks KERIS AMAN II dilaksanakan di Port Dickson semenjak 13 Ogos lalu. Eksesais multilateral ini melibatkan penyertaan 849 anggota tentera dari 26 buah negara.

Eksesais yang dilaksanakan merupakan kolaborasi bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) di bawah Program Global Peace Operations Initiative (GPOI), Amerika Syarikat – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply