SHAH ALAM, 17 OGOS – Tiga orang dikhuatiri maut dalam satu insiden pesawat ringan terhempas di Elmina, hari ini.
Video kesan kejadian yang berlaku kira-kira 2.49 petang itu mula tular di media sosial.
Data terbuka menunjukkan pesawat bernombor pendaftaran N28JV telah hilang dari paparan pemerhatian trafik udara. Kali terakhir data pesawat bertindak balas adalah di Lebuh raya Guthrie dan Persiaran Atmosfera, berhampiran Elmina Valley 1.
Semakan Air Times mendapati pesawat malang terbabit adalah model Raytheon/Beechcraft 390 Premier I yang dioperasikan oleh sebuah syarikat penerbangan persendirian.
Ini berdasarkan rekod nombor pendaftaran yang diberikan oleh pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) yang menunjukkan pesawat tersebut telah didaftarkan pada tahun ini.
Pesawat Raytheon/Beechcraft 390 Premier I yang mampu membawa 6 hingga 7 penumpang itu sebelum ini telah berlepas dari Langkawi pada kira-kira pukul 2.08 petang dan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang 45 minit kemudian. 0
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan mengesahkan tiada sebarang panggilan kecemasan dari pesawat terbabit.
“Hubungan pertama pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada 2.48 petang,
“Pada pukul 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut,” katanya.
Menurut CAAM, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.
Jelasnya, pesawat malang terbabit membawa 2 kru dan 6 penumpang semasa kejadian. – airtimes.my