KUALA LUMPUR, 27 MAC – Syarikat penerbangan AirAsia menafikan pesawatnya yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) awal pagi tadi, adalah disebabkan oleh kebakaran enjin.
Sebaliknya, pesawat Airbus A320 terbabit dilaporkan berpatah balik akibat kerosakan pada saluran udara atau ‘duct’ di salah satu enjinnya.
“AirAsia mengesahkan tidak berlaku kebakaran enjin. Setelah diperiksa, didapati perkara itu berpunca daripada saluran rosak yang mengeluarkan udara panas tetapi tidak mengakibatkan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Chester Voo berkata, pesawat dengan 171 penumpang dan anak kapal itu berjaya mendarat dengan selamat.
Ia dijadual akan mula beroperasi semula bermula Isnin depan selepas dibaik pulih.
“Juruterbang dan kru kabin kami telah dilatih untuk menangani situasi seperti ini. Pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden selepas semua langkah keselamatan diambil,” tambahnya.
Terdahulu, AirTimes melaporkan juruterbang syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia sempat berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di KLIA 2, selepas didakwa mengalami kebakaran enjin.
Difahamkan pesawat yang membawa 171 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Shenzhen, China.
Siasat lanjut kemudiannya mendapati punca sebenar adalah kerosakan pada sistem saluran udara pesawat. -airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #pesawat #pendaratancemas #airasia #enjinterbakar