KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Mesyuarat High Level Committee (HLC) antara Malaysia-Indonesia (MALINDO) kali ke-17 telah membincangkan agenda utama mengenai aspek kerjasama di dalam bidang operasi dan perisikan kedua-dua buah negara.
Markas ATM memaklumkan, HLC MALINDO yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini menyaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM bersama rakan sejawatnya, Laksamana TNI Yudo Margono, selaku Pengerusi HLC Malaysia dan Indonesia.
Antara aspek utama lain yang turut dibincangkan merangkumi perkembangan semasa aspek kerjasama dari segi latihan dan pendidikan; kerjasama kepolisian dan sosial-ekonomi serta ianya telah dibentangkan secara terperinci oleh semua badan-badan di bawah HLC MALINDO.
Menurut Markas ATM, sidang HLC MALINDO ini diadakan setiap tahun dan dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Indonesia.
“Mesyuarat Ke-17 HLC MALINDO ini telah dilaksanakan dengan jayanya atas pengukuhan hubungan diplomasi ketenteraan dan pertahanan serta semangat persahabatan antara dua negara amnya dan ketumbukan angkatan tentera khasnya,
“Tujuan utama HLC MALINDO adalah sebagai landasan kepada kedua-dua pengerusi bersama dan semua ahli HLC MALINDO untuk bertemu secara rasmi bagi membincangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama terutamanya isu keselamatan di sepanjang kawasan sempadan yang dikongsi oleh Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Markas ATM memaklumkan, secara keseluruhannya, pengerusi bersama kedua-dua negara amat berpuas hati dengan laporan yang telah dibentangkan.
“Kedua-dua Pengerusi Bersama juga senada dalam memberikan penekanan agar sinergi hubungan Malaysia dan Indonesia perlu diperkasa serta ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi,
“Kedua-dua mereka juga berharap agar kerjasama yang holistik dan komprehensif ini mampu memberikan impak yang positif serta mendatangkan pelbagai faedah buat bukan sahaja untuk kedua-dua negara, malah di seluruh kawasan serantau,” tambah kenyataan itu.
Menurut Markas ATM, kedua-dua Pengerusi juga memberi penekanan agar semua badan-badan di bawah HLC MALINDO agar terus berusaha bagi mencari peluang baru dalam pelbagai bentuk kerjasama dengan lebih produktif.
Jelasnya, ia bagi menyediakan kedua-dua negara dalam menghadapi ancaman situasi keselamatan yang semakin dinamik, mencabar dan tidak menentu.
“Kedua-dua Pengerusi juga turut menyeru agar badan-badan di bawah HLC MALINDO dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan dengan lebih baik, demi memperoleh hasil yang efektif dan efisiyen,
“Di samping itu juga, adalah menjadi keutamaan agar keselamatan serta keamanan sempadan Malaysia dan Indonesia terus dikekalkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” jelasnya lagi. -airtimes.my