Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Kesiagaan maritim, udara diperkasa melalui operasi bersama

#Pertahanan: Kesiagaan maritim, udara diperkasa melalui operasi bersama

by Nurulhuda

LUMUT, 2 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan Eksesais Angkasa Samudera Siri 14/23 (Eks ANGSA) bagi memperkasa kesiagaan maritim serta udara termasuk domain daratan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Pihak TUDM memaklumkan, eksesais bersama ini telah bermula sejak 28 Julai lalu dan akan berakhir pada 16 Ogos serta akan dilaksanakan dengan konsep Field Training Exercise (FTX).

Majlis Pembukaan Eks ANGSA 14/23 telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM, Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Abd Rahman dalam ucapannya menyatakan Eks ANGSA menerapkan elemen kebersamaan antara TLDM dan TUDM dalam memperkasa domain maritim.

Beliau berharap agar pelaksanaan Eks ANGSA ini dapat diteruskan secara konsisten dalam memastikan TLDM dan TUDM dapat membentuk sebuah angkatan yang matang, kredibel serta bersiap sedia bagi pelaksanaan operasi sebenar secara bersama.

“Kestabilan aspek maritim negara juga amatlah penting bagi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurut TUDM, eksesais ini melibatkan aset kedua-dua cabang perkhidmatan TLDM dan TUDM serta penglibatan pegawai pemerhati daripada Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Sepanjang Eks ANGSA 14/23 berlangsung, TUDM juga akan melaksanakan Eks PARADISE Siri 10/23 yang melibatkan latihan Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue serta Extraction,

“Selain itu, latihan Large Force Employment Mission seperti High Value Airborne Asset Protection (HVAAP) dan Combat Search and Rescue (CSAR) juga akan dilaksanakan dalam eksesais ini,” ujar pihak TUDM dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam masa yang sama, pihak TUDM memaklumkan, sepanjang latihan berlangsung pesawat-pesawat tentera khususnya TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu yang digazet sebagai kawasan latihan.

Sehubungan itu, pihak TUDM menasihati orang ramai agar tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera terbang rendah sekitar ruang udara Negeri Sabah dan Labuan sepanjang eksesais berlangsung. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply