KUALA LUMPUR, 4 April – Kumpulan aerobatik dari Indonesia, Korea Selatan, China dan Rusia akan melaksanakan persembahan udara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023.
Perkara tersebut telah disahkan oleh pihak LIMA’23 di akaun media sosial rasmi mereka.
Penyertaan Indonesia akan melibatkan Jupiter Team yang akan menerbangkan pesawat KT-1B keluaran Korea Aerospace Industries. Kumpulan aerobatik ini merupakan kumpulan pertunjukan udara Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU).
Sementara itu, Korea Selatan menghantar Team Black Eagle, kumpulan aerobatik Tentera Udara Republik Korea (ROKAF). Kemunculan pada LIMA 2023 merupakan kehadiran kedua kumpulan selepas kehadiran ulung pada LIMA 2017.
Pihak ROKAF akan menghantar 9 buah T-50B dan 3 buah pesawat pengangkut C-130 bagi LIMA 2023.
Kumpulan aerobatik Tentera Udara China yang pernah mencuri tumpuan pada LIMA 2015, August 1 akan membuat kemunculan kedua untuk pameran ini. Kumpulan yang turut digelar sebagai Ba Yi Aerobatics Ream ini dijangka akan menggegarkan ruang udara Langkawi dengan menggunakan pesawat J-10.
Russian Knights dijangka akan membawa jet pejuang SU-35S bagi LIMA 2023. Penyertaan ke pameran pada akhir Mei ini merupakan penyertaan ketujuh pasukan aerobatik Rusia semenjak penyertaan pertamanya pada tahun 1991.
Kumpulan aerobatik ini telah mula menerima SU-35S yang pertama pada tahun 2019 bagi menggantikan Su-30SM. – airtimes.my