Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 11 PATI Myanmar diberkas cuba lolos masuk ke Malaysia

11 PATI Myanmar diberkas cuba lolos masuk ke Malaysia

by Nurulhuda

BUKIT KAYU HITAM, 17 Feb – Seramai 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand diberkas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), semalam.

Pihak Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, semua PATI itu ditahan di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand kira-kira jam 6 pagi selepas masing-masing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Terdahulu, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berkenaan.

Kemudian, pasukan beroperasi seterusnya bertindak menahan kumpulan orang awam tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 11 orang awam yang terdiri daripada 6 lelaki san 5 wanita merupakan PATI warganegara Myanmar yang cuba masuk ke Malaysia melalui laluan haram,

“Semua PATI yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, berumur antara 28 hingga 47 tahun,” jelas 2 Div dalam kenyataan malam tadi.

Turut dirampas adalah 7 buah telefon bimbit, 4 buah passport, 7 kad pengenalan, wang dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM4,823.18.

Seterusnya, PATI diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.

Tambah 2 Div lagi, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan terutamanya PATI. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply