Home PolitikBarisan Nasional Berubah atau UMNO ditolak rakyat selamanya – Ismail Sabri

Berubah atau UMNO ditolak rakyat selamanya – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, parti itu perlu melakukan perubahan drastik agar tidak terpisah dengan kehendak rakyat, terutama golongan muda atau berdepan risiko disingkir terus selama-lamanya.

Justeru, katanya, pucuk pimpinan perlu merangka strategi bermula sekarang susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perlu ada imej dan tawaran baharu serta tidak boleh terpisah dengan golongan muda kerana kalau PRU15 golongan muda sekarang penuhi saluran 5 dan 6, mereka nanti akan pindah ke saluran 3 dan 4,

“Jadi kalau kita tak ubah, waktu mereka saluran 5 dan 6 sudah tolak kita, apabila mereka pindah ke saluran 3 atau 4, mereka tetap tolak kita. Jangan lupa kita akan ada pengundi baharu saluran 5 dan 6,

“Kalau dulu 4.5 juta terus ke saluran 3 dan 4 dan ditambah lagi 4.5 juta di saluran 5 dan 6 ini, makna 9 juta. Kalau kali ini tolak kita awal lagi kita kalah. Sebab itu saya kata perlu beri harapan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada PRU15 lalu, UMNO hanya menang 26 kerusi menjadikannya rekod paling buruk parti berkenaan.

Mengulas berhubung tindakan menggantung dan memecat beberapa pemimpin UMNO, Ismail berkata, parti itu telah mengambil langkah ke belakang dengan isyarat yang salah kepada golongan muda.

“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka, iaitu parti UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini,

“Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pemimpin yang dipecat UMNO seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar,” katanya.

Tegas Ahli Parlimen Bera itu, orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka.

“Sebab itu, saya kata mereka (orang muda) ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Khairy, bersama bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti kerana didakwa mensabotaj parti semasa PRU15, manakala beberapa pemimpin dan ahli lain digantung selama 6 tahun.

Khairy sejak itu mempertahankan kritikannya terhadap Umno dan berkata dia tidak akan merayu keputusan pemecatan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply