Home Pertahanan dan Keselamatan Bot nelayan tempatan gajikan kru warga asing ditahan

Bot nelayan tempatan gajikan kru warga asing ditahan

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 15 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan kru warga asing sekitar jam 9.13 pagi semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan kelas C2 ditahan ketika sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 62 batu nautika barat Pulau Kendi semasa anggotanya melaksanakan rondaan Op Tanjung.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan 5 kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berumur dalam lingkungan 20 hingga 43 tahun.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abd Razak memaklumkan, bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut anggaran 150 kilogram dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan lanjut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply