KUANTAN, 22 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) mula melaksanakan latihan bersama Eksesais Carat 2022.
Menurut Markas Angkatan Bersama (Mk AB), latihan ini dilaksanakan di sekitar Kuantan dan Laut China Selatan.
“Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan tentera kedua-dua negara dalam aspek maritim di laut dan bagi memupuk, menyelaras, berkongsi serta mendapatkan kefahaman yang lebih baik terhadap persekitaran operasi,
“Selain itu eksesais ini juga bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan tempur dan perkongsian keselamatan maritim diantara kedua-dua negara selaras dengan undang-undang, norma dan piawaian antarabangsa,” kata Mk AB.
Eksesais yang bermula 21 Nov dan berakhir pada 30 Nov ini memberi fokus kepada Keselamatan Maritim (Maritime Security).
Majlis perasmian eksesais telah disempurnakan oleh Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor, Timbalan Asisten Ketua Staf J3 Mk AB di Pusat Olah Perang, Kem Al-Sultan Abdullah.
Dalam ucapan majlis, Baharudin menyatakan keselamatan maritim telah dipilih konsep yang luas dalam eksesais pada tahun ini.
“Walaupun tiada definisi yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, secara amnya keselamatan maritim digunakan untuk menggambarkan cabaran yang wujud mahupun baharu di domain maritim pada peringkat serantau mahupun antarabangsa,
“Isu ini berkisar dengan kegiatan perlanunan, rompakan bersenjata dilaut, penyeludupan, pengedaran dadah, keselamatan pelabuhan, risiko perang dan peperangan,” katanya.
Menurut beliau, latihan sebegini adalah perlu sebagai persiapan ATM untuk menghadapi apa jua cabaran yang akan mendatang.
“Siri Eksesais Carat merupakan salah satu platform yang penting untuk membantu kami dalam menambah baik dan juga keupayaan dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.
Eks CARAT (Cooperation Afloat Readiness and Training) merupakan latihan ketenteraan bilateral antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Latihan yang dilaksanakan di Kuantan pada kali ini merupakan siri ke-25 eksesais tersebut.
Kali terakhir latihan ini dilaksanakan adalah pada tahun 2018 dan ianya merupakan acara yang diadakan secara dwi-tahunan. – airtimes.my
Galeri gambar: