Home PolitikBarisan Nasional PRU15: 4 iltizam untuk Malaysia demi kestabilan dan kemakmuran masa hadapan – Ismail Sabri

PRU15: 4 iltizam untuk Malaysia demi kestabilan dan kemakmuran masa hadapan – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan 4 iltizam beliau untuk Malaysia sekiranya diberi peluang meneruskan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, iltizam pertama adalah menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia, manakala kedua, menyuburkan kemakmuran ekonomi serta pembangunan negara.

Ismail Sabri menambah, yang ketiga adalah memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras Perlembagaan Persekutuan manakala keempat, memperkasa integriti tadbir urus negara.

“Inilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita,

“Saya, Ismail Sabri Yaakob dengan rendah diri memohon kepada semua pengundi untuk memberi kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional (BN) menerajui negara bagi penggal akan datang,

“Semoga ALLAH SWT terus merahmati serta memelihara negara dan Keluarga Malaysia,

“Ya ALLAH, sesungguhnya kepada-Mu kami berserah. Undilah BN. Terima kasih Keluarga Malaysia!” katanya dalam video Amanat PRU pada Khamis.

Ismail Sabri turut menjelaskan, sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu, tanggungjawabnya menerajui negara bukanlah mudah.

Ini kerana, katanya, sebagai Perdana Menteri ketiga dipilih dalam satu penggal yang sama, peralihan 3 kerajaan dalam tempoh 3 tahun merupakan episod gelap kepada negara.

“Waktu itu kita berdepan ancaman pandemik COVID-19. Jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari dan menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh,

“Tidak cukup dengan itu, negara berhadapan krisis ekonomi. Jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang, banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar dan rakyat hilang mata pencarian,” ujar beliau.

Disebabkan itu, Ismail Sabri menjelaskan, dengan tekad teguh untuk memulihkan negara sebagai seperti sebuah keluarga, pentadbiran di bawah terajunya melancarkan Inisiatif Keluarga Malaysia.

“Sepanjang tempoh 15 bulan, inilah 15 inisiatif yang telah kita capai bersama. Hari ini, keadaan bertambah baik dan kita mampu bergerak maju ke hadapan, namun masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia,

“Pada 19 November ini, Keluarga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus ditadbir dengan baik,” katanya selaku penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply