Home Politik Askar dibayar RM300: Tuduhan yang jahat, Anwar hina anggota tentera – Ismail Sabri

Askar dibayar RM300: Tuduhan yang jahat, Anwar hina anggota tentera – Ismail Sabri

by Nurulhuda

BERA, 7 Nov – Tuduhan terhadap anggota tentera di Parlimen Bera yang didakwa dibayar RM300 adalah fitnah dan merendahkan martabat pasukan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan Anwar itu juga telah mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

Tegasnya, Anwar perlu sedar dakwaan itu bersifat jahat dan perlu memohon maaf kepada seluruh anggota tentera.

“Tiada keistimewaan yang diberikan untuk anggota tentera mengundi terutama di Bera sehingga diberikan imbuhan,

“Soal anggota tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan menghina anggota tentera,

“Saya minta kepada Anwar tarik balik tuduhan tersebut kerana tuduhan ini saya anggap menghina anggota tentera di seluruh negara. Bukan sahaja anggota tentera di Bera, malah di seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Kampung Bongkok, pada Jumaat.

Terdahulu, Anwar mendakwa ada anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU kali ini dan dibayar dengan RM300.

Anwar berkata demikian ketika majlis ramah mersa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat Suruhanraya Pilihan Raya (SPR) menegaskan sekiranya pengadu yang mempunyai maklumat atau bukti berkenaan dakwaan tersebut disarankan untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPR menegaskan sekiranya terdapat perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses ketika pengundian pos di Parlimen P.090 Bera sebagaimana didakwa, pengadu yang mempunyai maklumat atau bukti disarankan untuk melaporkan kepada pihak SPRM,” jelas kenyataan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply