KUALA LUMPUR, 9 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, menyuarakan hasrat untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ini masa yang tepat untuk mengisytiharkan hasratnya menjadi pemimpin kerajaan.
“Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia… Insya-Allah,
“Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin UMNO. Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.
“Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) nak ‘keratkan’ saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya,” katanya semasa ceramah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Taman Saujana Utama, malam tadi.
Bagaimanapun ujarnya, beliau tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini.
Sebaliknya, sekiranya BN memperoleh kemenangan pada PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal diangkat sebagai Perdana Menteri berdasarkan ketetapan parti.
“I think it’s time for me to say it (sudah tiba masa saya menyatakannya) tapi bukan sekaranglah,
“Sekarang ini kita menang, kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri Malaysia. Saya baru 46 tahun, boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah. Saya sedia tapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu,
“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 dan saya menang kerusi untuk BN,
“Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara,” ujarnya.
Di Parlimen Sungai Buloh, Khairy berdepan R Ramanan daripada Pakatan Harapan (PH); Ghazali Hamin (Perikatan Nasional), dan Akmal Yusoff (Pejuang) pada 19 November depan. -airtimes.my