Home Pertahanan dan Keselamatan Rumah usang sorok rokok, tembakau seludup diserbu

Rumah usang sorok rokok, tembakau seludup diserbu

by Nurulhuda

TAWAU 9 Nov – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) telah mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk rokok secara tidak sah (tidak bercukai) menerusi rondaan Operasi (Op) Benteng Bersama di sekitar Kampung Batu 3, pada Isnin.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, Tim QRF yang sedang membuat rondaan telah mengesan sebuah rumah usang dipercayai bagi melakukan aktiviti pembungkusan barangan seludup dari Indonesia untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

Seterusnya, Ketua Platun QRF melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) dan POWB telah menghubungi IPD Tawau untuk diatur gerak ke lokasi kejadian bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Kira-kira jam 1.30 pagi pihak IPD Tawau tiba di lokasi bagi melaksanakan proses pengeledahan dan membawa kesemua bungkusan ke IPD Tawau bagi tindakan lanjut,

“Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 80 karton rokok seludup jenama Gudang Garam adalah dianggarkan bernilai RM9,520.00; rokok jenama Astro sebanyak 1,200 karton bernilai RM142,800.00; rokok jenama A1 Mild sebanyak 1,040 bernilai RM123,760.00 (harga minimum sekotak rokok bercukai),

“Selain itu turut ditemui tembakau jenama Shag sebanyak 2,640 bungkusan bernilai RM41,976.00 (harga minimum sebungkus tembakau bercukai) dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM318,056.00,” jelas hantaran itu.

Laporan dan penyerahan barangan rampasan telah dibuat oleh Tim QRF di IPD Tawau bagi kesalahan Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT).

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pihaknya bersama PDRM akan sentiasas dalam keadaan siap siaga melaksanakan tugas Op Pasir dan Op Benteng Bersama di perairan pantai timur Sabah bagi memastikan keselamatan persempadanan negara selamat.

“ATB 2 akan terus memastikan kawasan tanggungjawab di pantai timur Sabah sentiasa terpelihara dengan terus memperkasakan pendekatan ‘precision information, precision targetting and precision manouver’ dalam semua aturgerak operasi yang dilaksanakan,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply