Home Politik GTA-PEJUANG tidak rasis, tak bermusuh dengan bukan Melayu

GTA-PEJUANG tidak rasis, tak bermusuh dengan bukan Melayu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Meskipun Gerakan Tanah Air (GTA)-Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) gerakan orang Melayu namun ia tidak rasis dan bermusuh dengan bukan Melayu.

Justeru, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, kaum bukan Melayu tidak perlu takut kerana Melayu GTA akan memberi tempat kepada kaum lain dalam pemerintahan.

“Ingatlah sejak merdeka Malaysia diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu. Tetapi di masa merdekalah orang bukan Melayu maju sehingga tertinggal orang Melayu di belakang,” katanya menerusi Facebook beliau pada Ahad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, walaupun usaha dibuat untuk kurangkan jarak antara Melayu dengan kaum lain, hak dan kemajuan perniagaan dan perusahaan orang bukan Melayu tidak terhalang.

“Melayu GTA akan junjung tinggi keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa antara legislative (perundangan), executive (pentadbiran atau eksekutif) dan judiciary (kehakiman),” katanya.

Khamis lalu, Tun Mahathir telah mengumumkan 8 calon termasuk beliau yang akan bertanding di bawah bendera PEJUANG dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain Mahathir yang akan mempertahankan kerusi Langkawi, calon lain termasuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Calon lain yang turut diumumkan PEJUANG ialah Che Asmah Ibrahim (Sepang), Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Harumaini Omar (Hulu Selangor), Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor) dan Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply