Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 4 nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia

APMM tahan 4 nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 31 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya menahan sebuah bot bersama 4 kru warganegara Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia pada Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dan kru tersebut ditahan pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi sekitar jam 1.10 tengah hari oleh Kapal Maritim (KM) SIKUATI.

“Bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara oleh KM SIKUATI semasa rondaan rutin Operasi Tanjung,

“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang dikendalikan 4 kru warga Indonesia termasuk tekong berumur sekitar 27 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Abd Razak, kesemua mereka ditahan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Pada masa sama, Abd Razak berkata, KM SIKUATI telah mengusir 3 bot nelayan asing Indonesia pada awal pagi 28 Oktober lalu sekitar jam 7 hingga 8 pagi yang dikesan berada di kawasan “Unresolved Maritime Boundary” iaitu lebih kurang 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply