Home Pertahanan dan Keselamatan Tiba masa rombak sistem perolehan aset tentera – Rafizi

Tiba masa rombak sistem perolehan aset tentera – Rafizi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan merombak proses perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan lebih ramai pakar dan bekas jeneral.

Beliau berkata demikian susulan skandal perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) yang berjumlah RM9 bilion.

Rafizi mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji dan meneliti semula proses perolehan ini bagi menyelesaikan masalah berkaitan perlantikan kontraktor pertahanan tempatan.

“Lantik pakar dan bekas jeneral tentera yang pernah berkhidmat untuk negara serta negarawan dalam panel siasatan ini,

“Kita panggil mereka semula untuk membantu negara,” katanya pada majlis dialog Ayuh Malaysia bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Petaling Jaya, malam tadi.

Menurut Rafizi, isu pertahanan merupakan sesuatu yang penting kerana Malaysia terletak di lokasi panas apabila terpaksa berdepan dengan masalah pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan lanun di perairan Sabah.

“Pertahanan bukan soal main-main, kita ada ancaman lanun di Sabah, tersepit di Laut China Selatan,

“Kita juga bukan negara kaya seperti China dan Amerika Syarikat yang berbelanja besar untuk pertahanan, jadi tak boleh habiskan banyak peruntukan,” katanya.

Sehubungan itu, timbalan presiden PKR itu menggesa kerajaan menyiasat dengan teliti perolehan aset ketenteraan sebelum ini dan melarang ahli politik terlibat dalam proses tersebut.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan beberapa keraguan dokumen LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Siasatan mendapati tiada satupun daripada 6 kapal itu siap walaupun bayaran lebih RM6 bilion sudah dijelaskan.

Rafizi juga mendakwa ada konflik kepentingan membabitkan ahli politik dan syarikat Boustead Naval Shipyard yang membina kapal itu.

Malah, Rafizi juga mendedahkan kepincangan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) membabitkan peruntukan RM854 juta. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply