KUALA LUMPUR, 19 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) menjelaskan, video tular yang memaparkan sedutan Berita RCTI saluran televisyen Indonesia berkaitan anggota TDM mendarat jauh dari sasaran ketika melakukan eksesais adalah merupakan video lama.
Menurut Sel Perhubungan Raya Markas TDM, video yang tular di laman sosial itu adalah ketika anggota TDM menjalani Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) – 8AB/2013 yang diadakan di Medan, Indonesia bermula dari 7 hingga 12 Jun 2013.
“Penerjunan itu dilakukan oleh penerjun dari Grup Gerak Khas (GGK), TDM dan Komandu Pasukan Khusus (KOPASSUS), TNI Angkatan Darat,
“Pelepas yang merupakan anggota KOPASSUS telah melepaskan para penerjun ketika keadaan angin sedikit kencang yang menyebabkan kesemua penerjun GGK dan KOPASSUS tersasar dari kawasan pendaratan yang telah didaftarkan,” jelas kenyataan itu.
TDM turut menyangkal kenyataan berita yang mengatakan hanya anggota GGK sahaja yang tersasar dari kawasan pendaratan sebaliknya melibatkan anggota-anggota kedua-dua buah angkatan.
“TDM berharap agar seluruh rakyat Malaysia tidak menularkan lagi video berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif terutamanya yang mempunyai unsur provokasi kepada negara Malaysia mahupun Indonesia,” tambah TDM.
Terdahulu, TDM menjelaskan, pihaknya mengambil maklum mengenai video yang tular di laman sosial berkenaan anggota TDM telah mendarat jauh dari sasaran ketika melakukan eksesais di Indonesia.
Video yang tular di Tiktok telah dimuatnaik oleh akaun @cucoe.cut.nyak.ali.daya yang bertajuk ‘Tentera/Askar Terjun Payung Malaysia Salah Mendarat’ pada 12 Julai lalu.
Sedutan video tersebut memaparkan Berita RCTI saluran televisyen Indonesia pada tahun 2013 mengenai beberapa anggota tentera dari Malaysia melakukan pendaratan di luar kawasan sasaran dan telah diselamatkan oleh warga tempatan di sana. -airtimes.my