Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada pegawai wanita TLDM tamatkan latihan di USNA

Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada pegawai wanita TLDM tamatkan latihan di USNA

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah menzahirkan ucapan tahniah kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) Janusha Bala Krishnan Muthiah kerana berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA).

Istana Negara dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, PKK Janusha dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi pegawai wanita Malaysia pertama yang berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di USNA.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,

“Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini mencipta sejarah sebelum ini apabila dia menjadi wanita Malaysia pertama diterima masuk ke akademi tentera berprestij Amerika Syarikat dalam sejarah kemasukan pelajar negara ini ke sana sejak tahun 1971,

“PKK Janusha telah mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada tahun 2018 selama empat tahun bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar Amerika Syarikat,” kata Istana Negara.

Menurut Istana Negara, kejayaan Janusha menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di salah sebuah pusat latihan tentera terbaik di dunia ini membuktikan kewibawaan dan kemampuan wanita muda Malaysia untuk bersama bersaing di dalam bidang yang lebih dipelopori oleh kaum lelaki.

“Lebih bermakna, Majlis Tamat Pengajian yang penuh gemilang telah disempurnakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama Duta serta Penasihat-penasihat Pertahanan dari pelbagai negara,

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga warga TLDM untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan di masa hadapan di dalam bidang ketenteraan,” ujarnya.

Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Janusha dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply