Home Pertahanan dan Keselamatan Bantuan Khas Aidilfitri: Veteran, waris digalakkan semak dengan JHEV ATM

Bantuan Khas Aidilfitri: Veteran, waris digalakkan semak dengan JHEV ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Apr – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau waris perlu membuat semakan melalui portal DAFTAR yang diselenggarakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bagi membolehkan mereka menerima bantuan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2022.

JHEV ATM dalam kenyataan berkata, mereka juga perlu mengemaskini maklumat dengan menghantar salinan dokumen yang diperlukan ke nombor whatsapp JHEV ATM di 019-2559725 dengan segera.

“Sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat JHEV ATM di talian 03-26976600 atau hadir ke pejabat JHEV ATM yang terdekat,” kata JHEV ATM.

Menurut JHEV, terdapat sejumlah 409 bayaran yang telah dilaksanakan tetapi ditolak oleh pihak bank (bank rejection).

“Perkara ini terjadi disebabkan oleh kerana akaun bank tidak dapat disahkan; akaun tidak aktif, tutup, dormant atau dibekukan,

“Selain itu, ia juga berpunca daripada akaun yang telah ditutup kerana veteran meninggal dunia,” jelas JHEV.

Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk memberi BKKA Tahun 2022 sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan termasuk veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.

Ini termasuklah dengan memanjangkan bayaran BKKA ini kepada balu, duda atau anak kepada veteran ATM tidak berpencen yang telah meninggal dunia.

“Pembayaran BKKA kepada veteran ATM telah dibuat mulai 21 April 2022 secara berperingkat tertakluk kepada semakan kelayakan veteran tersebut,

“Sehingga 28 April 2022, JHEV ATM telah membayar BKKA kepada 133,346 Veteran ATM berpencen dan orang tanggungan dengan peruntukan berjumlah RM32,844,250.00,

“Pembayaran BKKA juga telah dilaksanakan kepada 53,539 Veteran ATM tidak berpencen dengan peruntukan berjumlah RM13,426,450.00,

“Seramai 8,969 orang veteran ATM tidak berpencen didapati mempunyai rekod menerima pencen perkhidmatan awam, manakala bayaran BKKA sebanyak RM250 dibayar oleh pihak Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP),” menurut kenyataan itu.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply