LANGKAWI, 26 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis terus mempertingkatkan kawalan bagi mengekang segala aktiviti jenayah rentas sempadan di sempadan negara.
Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan tugas di perairan negara terutamanya di sempadan Malaysia – Thailand.
Beliau berkata, setiap sempadan perairan negara sentiasa dikawal ketat dengan mengoptimumkan pengoperasian aset di laut ketika bulan Ramadan dan Syawal melalui Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2022 (Op Khas Pagar Laut) yang bermula pada 19 April hingga 17 Mei 2022.
Jelasnya, Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun sejak 2016 dan ini merupakan tahun ketujuh yang bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Menerusi Op Khas Pagar Laut, APMM Negeri Kedah dan Perlis telah merekodkan sebanyak 2,783 pemeriksaan pada tahun 2020 dan 2021 lalu, termasuk 42 kes tangkapan yang melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sejumlah RM12.8 juta,
“Manakala bagi 2022 sehingga 24 April, sebanyak 522 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh perairan negeri Kedah dan Perlis melibatkan 3 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM563,160.00,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Zawawi berkata, lebih daripada 113 pegawai dan anggota APMM Negeri Kedah dan Perlis tidak bercuti sempena Syawal ini demi menggalas tugas serta tanggungjawab kepada negara agar dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Sebanyak 9 aset laut termasuk kapal dan bot telah ditugaskan untuk melakukan rondaan serta pengawasan,
“Rondaan akan dilakukan sepanjang bulan Ramadan sehingga Syawal di sekitar perairan Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Pulau Langkawi khususnya,” jelasnya.
Dalam pada masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya turut menyampaikan 60 bungkusan keperluan asas kepada komuniti maritim di sekitar Pulau Langkawi sejak awal Ramadan lalu.
Jelasnya, sumbangan itu sebagai salah satu insiatif bagi meringankan beban keluarga komuniti maritim dalam menjalani ibadah puasa serta membuat persediaan dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. -airtimes.my
