Home Semasa Tol percuma, diskaun hingga 50 peratus sempena Aidilfitri

Tol percuma, diskaun hingga 50 peratus sempena Aidilfitri

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 25 Apr – Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun sehingga 50 peratus melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya bermula Sabtu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei ini.

“Langkah ini dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya,

“Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta,

“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara- Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Ia akan bermula pada pukul 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga 11.59 malam, 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan,

“Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara – Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11.59 malam 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan,” ujarnya.

Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

“Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersamasama orang tersayang,

“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply