Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 69 tahun Rejimen Askar Jurutera Diraja kekal releven dukung amanat bantu rakyat

69 tahun Rejimen Askar Jurutera Diraja kekal releven dukung amanat bantu rakyat

by Nurulhuda

TAIPING, 22 Apr – Setiap lapisan warga Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) diseru untuk sentiasa fokus dan bersemangat dalam meningkatkan kesiapsiagaan serta kompetensi dalam melaksanakan tugas seharian.

Ketua Jurutera merangkap Pengerusi RAJD, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir Chapiti Redzuan turut mengingatkan semua warganya agar terus berusaha untuk meningkatkan keselamatan dalam menjayakan operasi, projek-projek dan latihan yang dilaksanakan.

“Selain itu, setiap warga harus melaksanakan tadbir urus dengan baik, pengurusan sumber manusia yang cekap, serta pengurusan dan rancangan logistik yang rapi,

“Setiap warga RAJD juga diingatkan agar sentiasa positif dan menghindarkan diri dari budaya serta tingkahlaku yang negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusannya sempena Hari Ulangtahun RAJD ke-69 di Padang Kawad Kem Sangro Taiping, pada Jumaat.

Menurutnya, RAJD akan terus kekal komited dalam mendukung amanat Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk berbakti kepada rakyat dan berharap dimartabatkan sebagai sebagai kor yang unggul serta disegani dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sumbangan di dalam 4 bidang utama iaitu Kejuruteraan Medan, Perkhidmatan Kejuruteraan Profesional, Kejuruteraan Pakar dan Geospatial Pertahanan terus diberikan seiring dengan perubahan dan keperluan semasa,

“Kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pucuk pimpinan ATM dan TDM perlulah digalas dengan penuh amanah dan dedikasi agar faedahnya dapat dinikmati oleh warga tentera serta rakyat,

“Penglibatan dan sumbangan di dalam Kejuruteraan Medan dapat dilihat melalui penglibatan pasukan-pasukan di dalam operasi, siri-siri latihan dan projek-projek pada setiap tahun,” ujarnya.

Perbarisan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Firdaus Jamaluddin ini melibatkan 15 pegawai dan 270 anggota.

Chapiti menjelaskan, anggota Markas RAJD Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK RAJD PMBTD) turut terlibat di dalam Eksesais Bilaterial seperti Eksesais MANTIS dan Live Agent Training oleh pasukan 12 Skn RAJD (CBRNe) telah berjaya dilaksanakan setiap tahun.

Menurutnya, latihan ini turut melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Kanada (ATK) dan beberapa agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), BOMBA, Southeast Asia Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT), Rapid Rail Sdn Bhd dan lain-lain.

“Konsep latihan pada tahun ini yang menjurus kepada keadaan semasa dan Operasi Melawan Keganasan dalam situasi CBRNe telah memberi pengalaman baru dan dapat meningkatkan kompetensi anggota RAJD khususnya,

“Selain itu, Eksesais Combined Arm Gap Crossing dan 5 Keupayaan (CBRNe) juga telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama pasukan-pasukan tempur dari unit infantri dan armour,” tambahnya.

Tambahnya, penglibatan pasukan RAJD di dalam Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang dianjurkan oleh 10 Briged (Para) secara tidak langsung menunjukkan RAJD kekal releven dengan keperluan semasa.

“Penglibatan pasukan-pasukan RAJD di dalam projek-projek Jawatankuasa Perancangan dan Gerakan juga turut dilaksanakan. Pembinaan pos-pos kawalan sempadan, baikpulih, bina baru rumah dan kemudahan awam di seluruh negara merupakan projek-projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini,

“Bagi pembinaan pos kawalan sempadan, RAJD sedang membina 8 pos yang telahpun bermula pada tahun 2021 dan dijangka siap pertengahan tahun ini,

“RAJD dijangka akan membina 6 lagi pos kawalan sempadan pada tahun ini iaitu 3 pos di KTJ 1 Divisyen dan 3 Pos di KTJ 5 Divisyen,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply