BERLIN, 14 Mac – Kumpulan pemerhati keganasan antarabangsa, Counter Extremism Project (CEP) menyuarakan kebimbangan mereka akan kemungkinan ancaman fahaman ekstremisme baharu ketika perang Rusia-Ukraine berlaku.
CEP dalam satu kenyataan berkata, kehadiran pejuang asing dari luar zon konflik berfahaman ekstremis ke Ukraine adalah satu ancaman keselamatan yang jelas dan nyata.
“Mereka akan cuba mengambil peluang dari konflik ini untuk mendapatkan pengalaman tempur dari zon konflik,
“Keadaan ini sekaligus memberikan impak terhadap kumpulan ekstremis di tanah air mereka sekiranya individu terbabit pulang ke negaranya,” katanya dalam satu kertas taklimat.
Jelasnya, pengalaman yang ditimba oleh anggota kumpulan ekstremis di medan konflik akan mempertingkatkan kemampuan mereka dalam merancang dan melancarkan aktiviti keganasan di masa hadapan.
“Memiliki senjata api dan menembak di lapang sasar antara perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini,
“Namun begitu, penglibatan individu berideologi ekstremis adalah satu perkara yang amat memberikan kesan kepada keselamatan,
“Oleh itu, penglibatan mereka di zon konflik perlu dihentikan serta-merta,” ujarnya.
Menurut CEP, kegagalan untuk berbuat demikian akan membahayakan masyarakat terutamanya individu yang pulang dari zon konflik akan mengalami trauma dari psikologi akibat peperangan.
Dalam pada itu, kertas kajian tersebut turut menyatakan konflik di Ukraine semenjak tahun 2014 menyaksikan kehadiran individu ekstremis haluan kanan.
Menurutnya, kehadiran pejuang asing dapat dilihat di pihak Rusia dan Ukraine.
“Operasi ketenteraan Rusia di Ukraine semenjak 24 Februari lalu telah membuka semula pintu kehadiran pejuang asing di zon konflik,
“Rejimen Azov – kumpulan militia fahaman ekstremis haluan kanan telah diserapkan ke dalam pasukan pertahanan Ukraine,
“Tambahan pula, Kyiv telah membuka pintu kepada penubuhan International Legion di bawah Kementerian Pertahanan Ukraine,
“Pada ketika ini, Rejimen Azov pada ketika ini aktif merekrut pejuang asing,” kata CEP.
Selain daripada itu, kehadiran ekstremis haluan kanan turut dikesan pada pasukan Defender of Donbas dan kumpulan askar upahan Wagner Group.
Kumpulan ekstremis haluan kiri turut dilaporkan aktif menjemput kehadiran pejuang asing di Ukraine melalui saluran media sosial.
Jelas CEP, terdapat kelemahan dari sudut perundangan bagi menghalang perjalanan individu berfahaman ekstremis untuk menyertai peperangan di Ukraine.
Ini berikutan tiada kumpulan yang diiktiraf sebagai pengganas terlibat dalam konflik di Timur Eropah.
“Dalam isu ISIS dan al-Qaeda, memberi sokongan secara langsung atau tidak langsung serta perjalanan mana-mana individu untuk menyertai kumpulan ini telah dikategorikan sebagai jenayah,
“Ini kerana, kedua-dua kumpulan ini telah diiktiraf sebagai kumpulan pengganas,
“Namun begitu, perjalanan ke Ukraine tidak pula dikategorikan sebagai aktiviti jenayah,” ujarnya.
Dalam pada itu, CEP menggesa pelbagai langkah perlu diambil termasuk dari sudut undang-undang bagi menggelakkan penglibatan individu berfahaman ekstremis dalam konflik di Ukraine.
“Penglibatan mana-mana individu warga asing dalam International Legion yang telah menjadi sebahagian tentera Ukraine boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan oleh negara masing-masing,” katanya. – airtimes.my