Home Pertahanan dan Keselamatan Kenderaan COTM pertingkat kesiagaan, keupayaan operasi di pantai timur Sabah

Kenderaan COTM pertingkat kesiagaan, keupayaan operasi di pantai timur Sabah

by Nurulhuda

TAWAU, 12 Feb – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah menerima kenderaan pacuan 4 roda Toyota Land Cruiser, Communication On The Move (COTM) bagi mempertingkatkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga kedaulatan pantai timur Sabah.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, perolehan aset ini adalah sebahagian dari pemodenan sistem komunikasi yang akan digunakan oleh ATB 2 dalam melaksanakan tugas dan perananya menjaga keselamatan negara.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Komander Markas Operasi Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP), Kolonel Izhar Zakaria kepada Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad pada Jumaat.

Menurutnya, kenderaan COTM ini akan membantu ATB 2 mempertingkatkan keupayaan operasi serta mengoptimumkan kelebihan dalam kuasa tempur ATM.

“Secara tidak langsung juga, aset ini mampu memberikan perlindungan kepada sistem komunikasi operasi tentera dalam pengawasan ancaman keselamatan negara seperti pencerobohan sempadan atau aktiviti penyeludupan,” jelasnya.

Kenderaan pacuan 4 roda Toyota Land Cruiser, Communication On The Move (COTM) akan membantu Markas Angkatan Tugas Bersama 2 mempertingkatkan keupayaan operasi serta mengoptimumkan kelebihan dalam kuasa tempur ATM.

Jelas MK AB, kenderaan yang menggunakan sistem komunikasi X-Band ini adalah buatan syarikat tempatan MILDEF International Technologies Sdn Bhd yang memiliki keupayaan lasak untuk diaturgerak ke kawasan operasi di daratan.

“Kenderaan ini juga terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dengan sistem yang canggih serta berupaya menghubungkan komunikasi satelit sepanjang perjalanan ketika bergerak,

“Antena yang dipasang pada bumbung kenderaan ini mampu untuk menyediakan kemudahan penghantaran data, video conferencing, telfon dan paparan radar melalui sistem kripto terselamat,” tambah MK AB. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply