Home Pertahanan dan Keselamatan Insiden bot karam: Mayat PATI ditemui di perairan Singapura

Insiden bot karam: Mayat PATI ditemui di perairan Singapura

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 24 Jan – Mayat lelaki warga Indonesia ditemui di perairan Singapura semalam dipercayai mangsa kejadian bot pendatang asing tanpa Izin (PATI) yang terbalik di Teluk Ramunia pada Khamis lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penemuan mayat tersebut menjadikan jumlah keseluruhan 25 mangsa ditemui dengan 19 terselamat, 6 ditemui lemas, manakala 2 lagi masih hilang.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan mayat seorang lelaki di kedudukan 5 batu nautika barat daya Changi Naval Base, Singapura pada jam 12.00 tengah hari semalam.

“Mayat yang ditemui itu dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot terbalik,

“Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mayat yang dipercayai telah mati lebih dari 2 hari, mangsa berusia 39 tahun warga Indonesia dan disyaki salah seorang daripada 3 baki mangsa yang hilang semasa kejadian bot karam tempoh hari,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nurul Hizam menjelaskan, Operasi Carilamat (Op Carilamat) memasuki hari keempat diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi seluas 54 batu nautika persegi.

Manakala, pencarian di pesisir pantai pula sepanjang 20 kilometer dengan penglibatan seramai 76 petugas dari pelbagai agensi.

“Agensi yang terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti maritim,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply