Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Peralihan fasa endemik ditentukan dalam Mesyuarat Kuartet COVID-19 minggu hadapan

Peralihan fasa endemik ditentukan dalam Mesyuarat Kuartet COVID-19 minggu hadapan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, keputusan mengenai peralihan ke fasa endamik akan diputuskan minggu hadapan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar Negeri (MOFA) dan beberapa pihak yang berkaitan akan menyampaikan taklimat dalam mesyuarat kuartet COVID-19 minggu depan sebelum sebarang ketetapan mengenainya diputuskan.

Menurutnya, taklimat tersebut akan melibatkan laporan situasi semasa banjir dan jangkitan varian Omicron daripada pihak-pihak berkenaan, yang telah ditangguhkan sebelum ini.

“Fasa peralihan ini tidak lama dan mungkin 2, 3 minggu sahaja,

“Kita tangguh (sebelum ini) sebab saya nak terima laporan kesan daripada banjir, varian Omicron COVID-19 dan pengembara yang kembali ke tanah air, khususnya mereka yang baru kembali dari Arab Saudi terlebih dahulu,

“Pada Mesyuarat kuartet minggu depan saya akan menerima taklimat daripada KKM, MOFA dan pihak-pihak lain untuk kita bentang pada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum keputusan tarikh sebenar kita beralih ke fasa endemik,” katanya.

Tambahnya, keputusan fasa peralihan ke endemik tidak akan dilakukan secara semberono dan penangguhan fasa itu melibatkan tempoh 2 hingga 3 minggu dari tarikh asal, iaitu minggu pertama Januari.

“Kita tetapkan tujuh asas perlu dipatuhi orang ramai dan ini boleh kita maklumkan kepada media melalui setiausaha akhbar saya berkaitan dengan pengurangan prosedur operasi standard (SOP), pendekatan ujian kendiri dan beberapa perkara lain,

“Penangguhan itu hanya sementara yang saya umumkan menyebabkan kita berhati-hati beberapa minggu ini tetapi kita sudah bersedia untuk beralih fasa endemik. Namun pada akhirnya bukan untuk saya umum, sebaliknya Perdana Menteri akan berbuat demikian selepas dipersetujui dalam jawatankuasa itu,” tambahnya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 yang memuktamadkan 8 teras utama menerusi Pelan Tindakan 2022 bagi menyelaraskan dasar serta hala tuju kementeriannya.

Teras berkenaan merangkumi aspek kebajikan, kesiagaan dan keupayaan, kompetensi pertahanan, kerjasama awam-tentera, industri pertahanan nasional, kerjasama pertahanan antarabangsa, pemerkasaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kesiagaan terhadap krisis berskala besar.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada warga Kementerian Pertahanan yang terjejas banjir baru-baru ini.

Seramai 214 kakitangan Kementerian Pertahanan yang terkesan sepanjang bencana banjir ini telah dibantu dan diberikan sumbangan dalam usaha meringankan beban mereka.

Hishammuddin juga turut menyerahkan simbolik 2,633 test kit kepada pihak pengurusan sekolah rendah dan menengah yang merangkumi Sekolah Kebangsaan Kementah (1,117), Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (1,012) serta Maktab Tentera DiRaja Sungai Besi (504).

“Kementerian Pertahanan juga mengambil insiatif dalam membantu kakitangan awam yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan anak-anak untuk kembali ke sekolah,

“Seramai 100 keluarga terpilih akan menerima sumbangan Back To School ini dengan nilai sumbangan sebanyak RM200 bagi setiap keluarga,

“Simbolik program pada hari ini melibatkan penyerahan kepada 6 keluarga pelajar mewakili 3 pelajar sekolah rendah dan 3 pelajar sekolah menengah,” jelas Kementerian Pertahanan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM serta warga kementerian. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply