SINGAPURA, 17 Jan – Seramai 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mendaftar kad SIM prabayar secara tidak sah menggunakan butiran pelanggan atau warga asing yang belum masuk atau telah keluar dari Singapura, pada Ahad.
Portal berita tempatan melaporkan, serbuan yang dilancarkan pihak polis secara serentak diseluruh Singapura ke atas 17 kedai telefon bimbit itu berjaya menahan 9 lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 56 tahun.
Menurut jurucakap pihak Polis Singapura (SPF) dari Jabatan Ehwal Komersial berkata, seramai 34 individu iaitu 15 lelaki dan 9 wanita yang berumur 24 hingga 68 tahun turut dipanggil bagi membantu siasatan.
“Siasatan menunjukkan peruncit telefon bimbit telah menyalahgunakan sistem komputer yang mengandungi maklumat pendaftaran bagi kad SIM prabayar,
“Peruncit dipercayai mendaftar terlebih dahulu kad SIM ini menggunakan butiran orang lain dan menjualnya kepada pelanggan yang tidak ingin diketahui,” kata jurucakap SPF.
Tambah jurucakap polis, penjenayah akan menggunakan kad SIM prabayar yang didaftar secara tidak sah itu sebagai saluran hubungan rahsia untuk aktiviti seperti pemberian pinjaman tidak berlesen, penipuan, serta kegiatan haram lain.
“Contohnya, sindiket penipuan menggunakan kad SIM tersebut untuk menghubungi mangsa dan dikalangan mereka untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,
“Polis turut merampas peralatan seperti pencetak, komputer riba dan telefon bimbit, salinan pasport, kad SIM dan dokumen lain,
“Jika didapati bersalah, denda tidak melebihi SGD10 ribu dan penjara tidak melebihi tiga tahun, atau keduanya sekali, tambah jurucakap SPF. – airtimes.my