Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan akan pinda Akta Tabung Angkatan Tentera, jamin penuh wang persaraan

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Angkatan Tentera, jamin penuh wang persaraan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kerajaan akan menjamin sepenuhnya tabung pesaraan anggota tentera di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin menyatakan perkara tersebut merupakan salah satu inisiatif dan agenda Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun ini.

“Sudah tiba masanya simpanan persaraan anggota ATM yang teramat besar jasa dan pengorbanannya kepada tanah air dijamin kerajaan sepenuhnya,” katanya semasa Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

Menurut beliau, tiada sebab mengapa tabung persaraan terbabit tidak mendapat layanan sama rata seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji (TH) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jelasnya, usaha ini dilaksanakan bagi menjamin pulangan wang kepada pencarum tidak mengalami penyusutan nilai akibat situasi ekonomi yang mencabar.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menyatakan pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

“Saya sendiri sudah bentangkan cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera di Mesyuarat Kabinet minggu lepas dan Kabinet telah memberi kelulusan secara prinsip.

“Langkah seterusnya, ia akan dibawa ke parlimen untuk dipinda pada tahun ini juga.

“Saya akan beri perhatian penuh kepada cadangan pindaan ini sehingga ia lulus dan dilaksanakan,” ujar beliau.

Hishammuddin turut menjelaskan pindaan ini akan memelihara tabung persaraan anggota tentera dan juga membolehkan LTAT terus memacu agenda transformasi mereka.

“Kepada kepimpinan LTAT, teruskan usaha ini supaya pelaburan yang dilaksanakan memenuhi keperluan dan amalan terbaik semasa dan dapat memberi pulangan yang stabil, kompetitif dan mampan seperti mana institusi persaraan yang lain,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply