Home PolitikBarisan Nasional MKT UMNO kekal sokong Ismail Sabri sebagai PM

MKT UMNO kekal sokong Ismail Sabri sebagai PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan kekal menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

“MKT UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal, malah perlu terus dimantapkan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurut Ahmad, MKT juga telah mengarahkan jentera parti untuk membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu kira-kira 5.8 juta orang.

“MKT telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang,” ujarnya.

Sebelum itu, Ahmad memaklumkan, Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 16 hingga 19 Mac ini yang akan dilaksanakan secara bersemuka sepenuhnya.

Selain itu, MKT UMNO malam tadi juga menegaskan mengenai pelbagai bantuan yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan.

“Mesyuarat mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di negeri Selangor,

“Sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari depan juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir besar pada masa akan datang,” jelasnya.

Pada masa sama, MKT UMNO juga merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dan pimpinan UMNO di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply