Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 bot Vietnam, 3 antara 13 nelayan positif COVID-19

APMM tahan 2 bot Vietnam, 3 antara 13 nelayan positif COVID-19

by Nurulhuda

PASER PUTIH, 7 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan menahan 2 bot nelayan Vietnam bersama 13 kru yang menceroboh dan merompak hasil laut di perairan Kelantan, semalam.

Pengarah APMM Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua bot tersebut telah ditahan oleh bot peronda APMM dalam Operasi Khas Kuda Laut pada jarak lebih kurang 50 dan 51.6 batu nautika daripada Muara Tok Bali.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati, 6 kru termasuk tekong, manakala bot kedua dikendalikan 7 kru termasuk tekong.

“Kesemua mereka merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 23 hingga 54 tahun,

“Tangkapan kali ini melibatkan rampasan ikan pelbagai jenis lebih kurang 200 kilogram (ikan campur dan ikan baja) serta bekalan diesel lebih kurang 1,000 liter,

“Pemeriksaan juga mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Syed Nor Adli menjelaskan, nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah lebih kurang RM1.5 juta.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru,

“Mereka juga akan dituduh di bawah serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tempoh tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” tambahnya.

Proses membawa balik kedua-dua bot tersebut ke Jeti Maritim Negeri Kelantan mengambil masa selama hampir sembilan jam dan tiba pada jam lebih kurang 1.50 pagi tadi.

Jelas Syed Nor Adli, kesemua 13 tahanan warga Vietnam itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan hasil saringan mendapati 3 daripada tahanan tersebut di dapati positif COVID-19. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply