Home Semasa Jumlah mangsa banjir menurun di semua 5 negeri

Jumlah mangsa banjir menurun di semua 5 negeri

by Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Sebanyak 37,295 orang daripada 10,944 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pagi ini.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 233 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN terus mencatatkan penurunan setakat 8 pagi ini, apabila seramai 681 mangsa daripada 218 keluarga berbanding 685 orang daripada 222 keluarga pada Sabtu, melibatkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya dua sungai berada paras waspada iaitu Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 16,579 di 86 PPS setakat pagi ini berbanding 16,743 di 87 PPS yang dilaporkan malam Sabtu.

Setakat 4 pagi hari ini, polis Selangor memaklumkan tujuh jalan di enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masih dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan melibatkan Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang); jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya).

Masih lagi ditutup adalah Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh), manakala di IPD Kajang jalan yang ditutup ialah Jalan Genting Peras-Kuala Klawang manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini ialah seramai 19,839 orang di 137 pusat pemindahan sementara berbanding 21,726 orang di 148 PPS malam Sabtu.

Daerah yang masih terjejas banjir ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya dua sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend penurunan pagi ini, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Kundang.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 152 individu daripada 44 keluarga berbanding malam Sabtu dengan 203 mangsa daripada 56 keluarga.

Katanya, sebanyak empat PPS yang masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini dan keadaan di kesemua PPS dilaporkan dalam keadaan baik dan terkawal.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA terus menurun kepada 26 mangsa daripada lapan keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 29 mangsa melibatkan sembilan keluarga, malam Sabtu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya pusat penempatan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.

“Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply