Home Politik Bertanding untuk berbakti kepada penduduk Sungai Udang – Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Mohd Zahar

Bertanding untuk berbakti kepada penduduk Sungai Udang – Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Mohd Zahar

by M.Daim

SUNGAI UDANG, 15 Nov – Menstabilkan keadaan politik dan membawa perubahan di negeri kelahiran merupakan antara faktor veteran tentera, Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar membuat penampilan sulungnya dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Sungai Udang atas tiket Bebas akan berdepan dengan 3 calon baharu dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Ini merupakan kali pertama saya libatkan diri dalam pilihan raya dan ianya merupakan satu pengalaman yang baru,

“Negeri Melaka merupakan tanah tumpah darah saya dan ianya menjadi penggerak mengapa saya terlibat dalam karier politik,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Air Times.

Jelasnya, kehadiran beliau sebagai calon Bebas turut bermatlamat untuk memulihkan keadaan politik negeri ini.

“Saya melihat keadaan politik negeri Melaka menjadi cacamarba dan mempunyai pelbagai cerita tidak sihat,

“Saya rasa kehadiran saya ini akan berkongsi dan menstabilkan keadaan politik negeri ini,” ujarnya.

‘Didikan dan pengalaman akan digunakan sebaiknya’

Bagi anak kelahiran Kampung Ayer Limau ini, didikan agama oleh ayahnya dan juga pengalaman 40 tahun sebagai anggota tentera telah banyak membentuk peribadi beliau.

“Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana dan ayah saya merupakan guru mengajar Al-Quran serta imam,

“Saya diberi didikan secukupnya oleh beliau dan juga di sekolah agama. Saya masih berpegang teguh dengan apa jua didikan diberikan oleh ayah saya sehingga hari ini,

“Ilmu yang dipelajari sentiasa digunakan sebaik-baiknya,” kata Zahar.

Dari segi pengalaman sebagai anggota tentera selama 40 tahun, Zahar telah terlibat dalam pelbagai peristiwa penting seperti peletakan senjata oleh kumpulan bersenjata Parti Komunis Malaya, terlibat dalam proses keamanan di Angola dan juga sebagai diplomat di Filipina.

“Saya banyak terlibat dengan kerja-kerja yang memerlukan interaksi dengan orang ramai dan itu adalah antara pengalaman yang saya akan gunakan sebaik-baiknya,” jelasnya.

‘Bukan bertanding sebagai individu’

 Menurut beliau, keputusan untuk bertanding dalam PRN Melaka pada kali ini bukanlah keputusannya sebagai individu.

“Saya bukan calon bebas individu dan keputusan untuk bertanding bukannya dari saya sendiri,

“Keputusan ini adalah pihak organisasi (parti),” katanya.

Jelas Zahar, keputusan untuk bertanding atas tiket bebas adalah berikutan penubuhan Parti Kemakmuran Negara masih belum mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Saya tidak akan membuat keputusan sendiri tetapi perlu merujuk kepada protem parti terlebih dahulu,” ujar beliau.

‘Berjuang demi semua’

Pada masa yang sama, Zahar menegaskan perjuangan beliau dan Parti Kemakmuran Negara bukan untuk veteran tentera semata-mata tetapi ianya merangkumi semua pihak.

“Jika dipilih mewakili Sungai Udang, saya dapat menyumbang dalam bentuk kebajikan – bukan untuk tentera dan veteran sahaja tetapi kepada semua termasuk orang awam,

“Saya telah menimba pelbagai pengalaman sepanjang 40 tahun perkhidmatan dan ianya memberikan cetusan idea yang tersendiri untuk kemajuan semua,” jelasnya.

Beliau menambah, kawasan Sungai Udang mempunyai keistimewaan tersendiri kepada beliau.

“Kawasan Sungai Udang ada peluang dan keistimewaannya tersendiri. Kita dapat melihat kesan ekonomi yang baik berikutan kewujudan kem tentera di kawasan ini,

“Malah, kehadiran para veteran dan anggota tentera di sini telah memberikan kesan ekonomi yang positif kepada semua,

“Insya Allah, saya akan meningkatkan keselesaan hidup penduduk di kawasan ini sekiranya dipilih untuk mewakili Sungai Udang,” kata Zahar.

‘Ikatan erat para veteran dan anggota tentera’

 Kehadiran pengundi dari golongan veteran dan anggota tentera merupakan antara percaturan yang digunakan oleh Parti Kemakmuran Negara untuk bertanding di satu-satu kawasan.

Bagi Zahar, ikatan erat antara anggota tentera dan juga para veteran merupakan antara peluang yang perlu digunakan secara sebaiknya oleh beliau.

“Dalam dunia tentera, ikatan adalah begitu erat dan hati mereka adalah lebih hampir di antara satu sama lain seperti saudara-mara,” ujarnya.

‘PRN Melaka sebagai platform permulaan’ 

Parti Kemakmuran Negara merupakan parti politik yang ditubuhkan oleh kumpulan veteran tentera pada tahun 2021. Sehingga hari ini, pendaftaran parti tersebut masih lagi belum mendapat kelulusan oleh pihak ROS.

Pada 4 Mei lalu, kumpulan veteran tentera telah bersetuju untuk menyertai Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) kelak. Dijangkakan seramai 50 calon akan bertanding dalam proses pemilihan tersebut.

Menurut Zahar, penyertaan beliau di Sungai Udang dan Mejar (B) Jaini Dimon di DUN Paya Rumput merupakan titik permulaan perjuangan Parti Kemakmuran Negara dalam pentas politik tanah air.

“Penyertaan dalam PRN kali ini adalah untuk membina platform dan merintis perjuangan parti yang akan ditubuhkan,

“Kita juga ingin melihat sejauh mana penerimaan veteran tentera dalam politik tanah air,” katanya.

‘Sumbang tenaga demi Melaka’

Seperti calon-calon lain, Zahar meletakkan harapan bahawa keputusan PRN akan memihak kepada dirinya.

“Harapan saya dalam PRN Melaka kali ini adalah mengharapkan satu keputusan yang memihak kepada kestabilan negeri Melaka,

“Harapan saya adalah untuk dipilih untuk mewakili Sungai Udang supaya dapat menyumbangkan pengalaman dan tenaga saya kepada seluruh penghuni di kawasan ini,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Udang sebelum ini dimenangi oleh Datuk Seri Idris Haron yang bertanding atas tiket BN semasa PRU-14 lalu.

Pada PRN kali ini, BN mempertaruhkan calon mereka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Selain BN, Zahar turut berhadapan 2 calon lain iaitu Hasmorni Tamby (PH) dan Dr Mohd Aleef Yusof (PN). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply