Home Pertahanan dan Keselamatan Op Redback: APMM, ABF fokus perangi jenayah rentas sempadan

Op Redback: APMM, ABF fokus perangi jenayah rentas sempadan

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 15 Nov – Operasi Redback (Op Redback) siri ke-16 melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) merupakan inisiatif bagi mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Amin berkata, sesi latihan serta perkongsian maklumat antara agensi dilaksanakan secara fizikal dan atas talian dengan melibatkan tenaga pengajar dari Ibu Pejabat ABF di Canberra.

Op Redback siri ke-16 yang bermula 15 hingga 21 November 2021 telah rasmikan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, hari ini.

Turut menyertai sesi latihan teori hari ini, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikanan (DOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Hamid, fokus Op Redback kali ini adalah dengan menitik beratkan elemen komunikasi strategik dalam menyedarkan masyarakat agar menghentikan penglibatan mereka dengan aktiviti jenayah seperti penyeludupan manusia, dadah dan barangan terlarang yang lain, kerana ianya merupakan kesalahan jenayah yang serius serta mengancam kedaulatan negara.

“Op Redback juga akan mendekati komuniti maritim di beberapa lokaliti sepanjang tempoh operasi dengan menyampaikan penjelasan dan risalah, serta mengagihkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terjejas ekoran pandemik COVID-19,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply