Home Pertahanan dan Keselamatan Setahun berbakti di Lubnan, kumpulan kedua MALBATT 850-8 kembali ke tanah air

Setahun berbakti di Lubnan, kumpulan kedua MALBATT 850-8 kembali ke tanah air

by Nurulhuda

SUBANG, 16 Okt – Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di Lubnan telah mengangkat nama Malaysia terutamanya di persada antarabangsa.

Panglima Markas Angkatan Bersama (Mk AB), Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM berkata, penglibatan anggota Malaysian Battalion 850-8 (MALBATT 850-8) secara amnya dalam misi UNIFIL telah membawa matlamat penting bukan sahaja kepada negara tetapi kepada dunia.

Menurutnya, prestasi yang dipamerkan oleh anggota MALBATT 850-8 amatlah membanggakan.

“Kontinjen bukan sahaja memberikan komitmen yang baik di sepanjang penugasan malah turut menunjukkan semangat kerjasama teguh di antara pasukan pemerhati kontinjen dari negara-negara lain serta angkatan tentera lubnan dan juga rakyat setempat,

“Adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk menyokong penuh usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBBB) dan masyarakat antarabangsa untuk memelihara keamanan dan keselamatan sejagat,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Kepulangan Kumpulan Kedua MALBATT 850-8 di Pangkalan Udara Subang, pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Panglima MK AB yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak secara langsung atau tidak langsung yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan bantuan yang berterusan bagi memenuhi keperluan MALBATT 850-8 bagi membolehkannya beroperasi di tahap optimum.

Terdahulu, Panglima MK AB telah menyambut kepulangan kumpulan kedua MALBATT 850-8 melibatkan seramai 195 pegawai dan anggota yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Amin Abdul Wahab TUDM setelah setahun berkhidmat di Lubnan.

Kontijen MALBATT 850-8 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat pada 1 Oktober 2020 bagi meneruskan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply