Home Pertahanan dan Keselamatan UPNM tuan rumah Forum Serantau ASEAN ke-24 tahun depan

UPNM tuan rumah Forum Serantau ASEAN ke-24 tahun depan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Malaysia menyertai Forum Serantau ASEAN kali Ke-24, Mesyuarat Ketua-ketua Universiti, Kolej, Institusi Pertahanan (ARF HDUCIM) yang diadakan secara dalam talian bermula 4 Oktober hingga 6 Oktober lalu.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kenyataan berkata, sebanyak 27 buah negara (ASEAN dan negara-negara Indo Pasifik) telah menyertai forum ini termasuklah Korea Selatan, China, Jepun, India, Kanada, New Zealand dan Australia.

“ARF HDUCIM ini memberi peluang kepada pengurusan kanan universiti, kolej dan institusi pertahanan dari negara-negara peserta ARF untuk membincangkan isu-isu keselamatan serantau dan mengadakan kerjasama penyelidikan serta menguatkan jaringan di bawah payung akademik,” katanya.

Menurutnya, forum yang dipengerusikan oleh National Defence University dari Pakistan dan UPNM bertindak sebagai pengerusi bersama, yang mana secara tradisinya, pengerusi bersama menjadi tuan rumah pada persidangan akan datang.

“Delegasi Malaysia telah diketuai oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, serta dihadiri pengurusan tertinggi Universiti, wakil Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri,

“Hasagaya juga telah mempengerusikan sesi ke-3 dengan subtema bertajuk Collaboration and Cooperation for Peace,” ujarnya.

Tambah UPNM, 3 pembentang dari UPNM turut menyumbang idea dalam forum berkenaan, iaitu Prof. Dr. Adam Leong Kok Wey, Leftenan Jeneral (B) Datuk Fadzil Mokhar dan Prof. Datuk Dr. Jesbil Singh Sandhu.

Turut diadakan ialah mesyuarat bilateral antara delegasi Malaysia dengan delegasi dari New Zealand dan Brunei Darussalam.

“Perbincangan tertumpu kepada aspek kerjasama antara institusi pengajian serta pertukaran kepakaran dalam mendepani situasi semasa,

“Delegasi Malaysia juga telah mempromosikan Maktab Ketahanan Nasional sebagai produk baharu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional,” tambah kenyataan itu.

Perbincangan bilateral ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi, serta Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Hal Ehwal Korporat), Datuk Dr. Junaidah Kamarruddin.

Di akhir acara, Pakistan telah menyerahkan sesi penganjuran 25th ARF HDUCIM pada tahun 2022 kepada Malaysia. Malaysia mencadangkan 2 tarikh penganjuran 25th ARF HDUCIM di Kuala Lumpur pada tahun hadapan iaitu 26 hingga 29 September 2022 atau 3 hingga 6 Oktober 2022. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply