Home Pertahanan dan Keselamatan 2 PATI Indonesia lemas ketika mendarat di Pantai Kelanang

2 PATI Indonesia lemas ketika mendarat di Pantai Kelanang

by Nurulhuda

KUALA LANGAT, 6 Okt – Dua mayat lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemui di Pantai Kelanang dan Pantai Morib, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Salleh berkata, mayat kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditemukan 6.50 pagi dan 9.30 pagi tadi, dipercayai lemas selepas turun dari bot yang mendarat di Pantai Kelanang.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kira-kira 20 individu dipercayai PATI mendarat di Pantai Kelanang.

“Susulan itu, IPD Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah melalui Operasi Benteng (OP Benteng) ke tempat kejadian dan menahan 7 lelaki dan 7 wanita dipercayai warga Indonesia di sekitar perkampungan Klanang dan kebun sawit berhampiran Pantai Kelanang,

“Menurut PATI yang ditangkap, mereka memberitahu ketika menghampiri pantai, bot dipukul ombak dan ribut lalu tekong bot meminta mereka turun dan berenang ke pantai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mereka dipercayai memasuki perairan Malaysia melalui Tanjung Balai, Indonesia dengan bot tongkang yang dinaiki lebih kurang 40 individu.

“Semua yang ditahan dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,

“Semua PATI yang ditangkap dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjong Sepat bagi ujian saringan COVID-19 sebelum dibawa ke IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Ridhwan berkata, seramai 50 anggota polis, PGA Briged Tengah serta bomba terbabit dalam operasi mengesan dan menangkap PATI yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran serta yang mungkin lemas. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!