Home Diskusi Penubuhan AUKUS: Kesan kepada China, Malaysia dan geopolitik serantau

Penubuhan AUKUS: Kesan kepada China, Malaysia dan geopolitik serantau

by Muhammad Faiq Shaf’ii

Penubuhan kerjasama AUKUS pada September lalu menjadi berita yang menghangatkan media pertahanan serta geopolitik antarabangsa. Ini termasuk dengan beberapa berita besar iaitu penamatan contract pembinaan 12 unit kapal selam kelas Barracuda bagi menggantikan kapal selam konvesional kelas Collins, dan Australia akan menerima bantuan teknikal dari US dan UK untuk membangunkan angkatan kapal selam nuklear mereka.

Latarbelakang AUKUS ini bermula dari pembangunan projek kapal selam Australia, yang dimenangi oleh Perancis pada awalnya. Kapal selam Australia ini akan berkuasa nuklear (nuclear propulsion) dan dibangunkan dari platform kelas Barracuda, kapal selam Perancis oleh firma Naval Group. Ia merupakan firma yang sama membina 2 unit kapal selam Scorpene untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kapal selam Collins merupakan antara aset strategik Tentera Laut Diraja Australia. (RAN). Perolehan kapal selam berkuasa nuklear bakal mempertingkatkan daya kuasa tembakan pasukan itu. Foto: (RAN)

Dengan penubuhan AUKUS, Australia membatalkan projek dengan Perancis, dan menerima tawaran teknikal dari US dan UK untuk membangunkan kapal selam nuklear mereka. Ini menimbulkan kemarahan Perancis kerana langkah ini dianggap mengkhianati sekutu Eropah mereka terang-terangan, sehingga memanggil kembali duta mereka pulang dari US dan UK. Malah Perancis, antara kuasa besar ekonomi EU, memberi kenyataan bahawa kerjasama ekonomi antara Australia dan EU akan mengalami jalan yang sukar selepas ini.

AUKUS: PAKATAN KETENTERAN BARU DUNIA

AUKUS ditubuhkan terang-terangan dinyatakan adalah “military alliance”, sebuah pakatan ketenteraan yang ditujukan untuk rantau Indo Pasifik. Pakatan trilateral ini terdiri dari 3 negara anglo saxon, UK sebagai bekas empayar kolonial terbesar pra Perang Dunia Kedua, dan US sebagai kuasa besar dunia selepas era Perang Dunia Kedua, ingin mengekalkan hemegoni, pengaruh serta diaspora mereka bagi kelangsungan mereka sendiri. Era 60-an hingga 80-an kita dapat melihat Timur Tengah sebagai titik panas konflik dunia, kini telah berubah ke rantau Indo Pasifik, dan Asia Tenggara.

Selat Melaka dan Laut China Selatan pula laluan perdagangan penting yang menghubungkan Barat, Eropah dan Timur. Ia turut membuka pintu kepada kuasa ekonomi timur seperti China, Korea dan Jepun. Lautan ini kaya dengan lapangan minyak, gas serta sumber marin.

AUKUS ditubuhkan secara bersama oleh Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat pada pertengahan September lalu.

Ia ditambah pula dengan tuntutan 9-Dash Line China di Laut China Selatan, pencerobohan berterusan oleh kapal laut dan pesawat China ke dalam wilayah Malaysia serta negara serantau.

Australia, mempunyai sejarah pertahanan lebih 100 tahun dengan US dan UK. Bermula sebagai negara koloni oleh pendatang dari eropah, australia disertai New Zealand, dinamakan pasukan ANZAC menyertai UK dalam perang dunia pertama menentang Turki Uthmaniyah di Gallipoli pada 1915.

Pada Perang Dunia Kedua, Australia juga menyertai UK dan negara Komanwel lain terlibat dalam pelbagai pertempuran antaranya semasa menentang Jepun di Malaya tahun 1941. Mereka turut terlibat dalam usaha menawan balik Labuan, Sabah dan Sarawak dari Jepun pada fasa akhir peperangan di Asia Tenggara.

Era Darurat pertama di Malaya 1948-1960, Australia turut ada membantu UK pasukan tentera darat menentang pengganas komunis, juga disertai negara komanwel yang lain termasuk Rhodesia dan Fiji.

Ketika perang Korea 1950, Australia juga menghantar pasukan tentera mereka di bawah kontinjen UN, dan juga dibawah pemerintahan US bagi menentang pencerobohan Korea Utara ke Korea Selatan. 17 ribu anggota tentera australia terlibat sepanjang kempen perang Korea.

Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu menyaksikan penglibatan tentera Australia dalam usaha mengekang kemaraan Jepun.

Penubuhan Malaysia pada 1963, Australia membantu UK untuk menentang tentera indonesia yang menyusup masuk ke wilayah Malaysia ketika itu. Malah aset-aset seperti pesawat tempur dan kapal laut mereka ada ditempatkan dan aktif beroperasi.

Australia juga terlibat dalam kempen peperangan di Vietnam menentang komunis Vietnam Utara dan vietcong sejak dari 1962- 1972. 500 orang tentera Australia terkorban dalam kempen ini. Hampir 61 ribu anggota terlibat dalam kempen ini, satu angka ang besar. Tujuannya adalah untuk mengekang perkembangan ideologi komunisme ke asia tenggara dan diletakkan dibawah struktur pemerintahan militari US ketika itu.

Pasca 1990an, Australia dilihat sentiasa ada bersama US dan UK, ketika perang Teluk menentang Iraq 1991 dan kempen di Afghanistan atas nama “war on terror”.

Dari segi ancaman, peluasan kuasa laut Jepun pada perang dunia setelah menawan Malaya, Indonesia meyebabkan mereka terdedah pada serangan Jepun. Salah satunya adalah “Raid on Darwin”, bandar pelabuhan mereka di utara Malaysia yang dibom dan dalam capaian operasi pesawat angkatan laut Jepun.

Peluasan komunisme dan teori domino pula membimbangkan akan kejatuhan asia tenggara pada komunis, perlu diingat, Indonesia juga pernah dikuasai PKI ketika era Suharto. Oleh itu mereka aktif terlibat dalam operasi ketenteraan di Vietnam dan Malaysia.

Sejarah ini boleh berulang dengan tindak tanduk China yang agresif, geografi itu takdir, geopolitik itu berulang dengan watak berlainan, cuma selang masa yang berubah.

Faktor sejarah, budaya, bahasa dan ras bangsa, US dan Australia keduanya bekas koloni British , berkongsi ideologi demokrasi, pasaran bebas dan sistem kehidupan, meletakkan Australia kehadapan sebagai pemilihan sekutu utama mereka di rantau ini. Apatah lagi mereka mempunyai ancaman yang sama.

PEMBESARAN MILITER CHINA SEBAGAI PEMANGKIN

Berdekad lepas, sekitar 70an, 80an dan 90an, jika China mengancam untuk menyerang dan menawan Taiwan, musuh mereka sejak 1949, US hanya perlu menghantar 2 kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear mereka (CVN) ke selat Taiawan , disertai carrier battle group terdiri dari armada berbelas kapal kruiser, kapal pembinasa ( destroyer), frigate, kapal selam dan kapal logistik. Kekuatan 1 CBG mempunyai sekurang – kurangnya 80 pesawat dan kebanyakan kapal US Navy (USN) mempunyai kapasiti untuk melancarkan peluru berpandu kruis seperti tomahawk untuk menyerang sasaran strategik.

Tentera Laut Republik Rakyat China (PLAN) mempunyai ketumbukan armada kapal induk yang dilihat mengugat keselamatan rantau Indo-Pasifik.

Kombinasi 2 CBG ini akan melibatkan sejumlah 160 pesawat tempur, berpuluh kapal dalam armada USN yang mampu untuk melancarkan serangan strategik ke aset militari China ketika itu. Ini tidak termasuk dengan fleet pesawat dari pengkalan sedia ada iaitu di Jepun dan Korea.

China yang masih bergelut dengan masalah ekonomi, infrastruktur dan struktur sosial, tidak mampu untuk berhadapan dengan US secara terus dan akan berundur dari mengancam Taiwan.

Tetapi, ledakan ekonomi China pasca 2000an, melihatkan perkembangan ekonominya menyokong pembangunan angkatan laut dan udara mereka secara besar-besaran. China telah mengoperasikan kapal pegangkut pesawat mereka yang pertama iaitu Type 001 Liaoning, yang dibangunkan semula dari Varyag, legasi soviet, sekelas dengan Kuznetsov yang sedang digunakan oleh Russia. Liaoning mampu membawa 26-30 pesawat J-15, khas dibangunkan dari platform Su-27/30 untuk operasi CN mereka.

China telah melakukan pelayaran , ujian serta eksesais berulangkali untuk memastikan kecekapan penubuhan carrier battle group mereka.

Malah China juga telah siap untuk mengoperasikan CN ke dua mereka iaitu Type 002 Shandong, yang dilihat sekelas dengan Liaoning. Type 003 dikatakan masih dibina dan mempunyai kemampuan setara dengan flat top carrier yang dioperasikan US Navy.

Walaupun China dilihat masih baru dari segi pegalaman, dan kemampuan CBG mereka dari kuantiti pesawat hanyalah sekitar 30% dari berbanding CVN US ( 30 pesawat J15 oleh Lioning berbanding 80 pesawat oleh CVN kelas Nimitz ), ini tetap merupakan ancaman dan telah menyebabkan US kehilangan kelebihan strategik selama ini.

China juga mengoperasikan sekitar 200+ pesawat pengebom strategik yang dibangunkan dari platform Tu-16 legasi Soviet, ke versi mereka sendiri iaitu Xian H-6. Dengan kemajuan teknologi, sensor serta instrumen, China mempunyai kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu kruise ke arah armada carrier US yang belayar secara salvo. Kuasa udara sejak perang dunia kedua terbukti mampu meneutralkan kuasa laut yang paling hebat.

Malah, pemilikan dan pembangunan Anti Ship Balistic Missile yang semakin maju oleh China, selari pula dengan kemajuan tekologi satelit mereka, telah menyumbang pada menjadikan armada CBG USN semakin tidak relevan dalam menjalankan “gunboat diplomasy mereka”. DF-21, ASBM milik China dikatakan sebagai antiship balistic missile yang pertma di dunia. Pelancaran dari negara meraka sendiri mampu untuk mengekang kemaraan CBG USN yang cuba untuk memaksa China patuh pada dasar luar yang ditetapkan US.

Pembangunan angkatan laut china yang pantas, pembinaan carrier fleet oleh China, fleet lebih 200 pengebom strategik H-6 dan pemilikan DF-21 ASBM telah menjadikan US tidak relevan dalam mengekalkan hemegoni dan pengaruhnya di lautan timur asia. US meihat akan perlunya untuk membangunkan angkatan laut sekutu-sekutunya di asia, untuk mengimbangi kuasa laut china. Ini boleh dilihat akan pembinaan kapal pengangkut oleh Jepun dan Korea juga merancang untuk memiliki kapal pengangkut pesawat. Maka tidak hairan, Australia dipilih untuk menjadi sekutu pertahanan yang dipercayai untuk dibangunkan, bagi menyokong dasar luar US.

MENGAPA KAPAL SELAM BERKUASA NUKLEAR?

Kapal selam merupakan aset strategik bagi sesebuah angkatan laut. Ianya dilihat eksklusif dan merupakan aset utama dalam cegah rintang. Malaysia, Indonesia, Singapura dan Vietnam antara negara yang mengoperasikan kapal selam diesel elektrik (SSK) di rantau ini.

Faktornya yang senyap dan beroperasi dibawah lautan menimbulkan ancaman pada armada kapal musuh. Kewujudan 1 unit kapal selam , mampu merencatkan tempo kemaraan berbelas kapal perang.

USS SEAWOLF (hadapan) merupakan salah satu contoh kapal selam berkuasa nuklear yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy)

Malah, kapal selam bukan sekadar aset senjata, ianya juga berupaya sebagai platform membawa senjata taktikal dan srategik.Kapal selam yang mempunyai kemampuan untuk melancarkan Anti Ship Missile, cruise missile dan balistic missile dikelaskan sebagai senjata strategik. Scorpene TLDM mempunyai keupayaan melancarkan Anti Ship Missile SM-39 Exocet, antara kapal selam termoden di rantau ini, di mana kapal selam negara lain hanya mampu melancarkan torpedo. Kapal selam juga sebahagiannya mempunyai keupayaan untuk melakukan pemasangan periuk api, dan penyusupan pasukan khas untuk operasi sabotaj, dan sebagainya.

Klasifikasi jenis kapal selam terbahagi kepada 3:

SSK                       – Diesel Electric Attack Submarine
SSN                       – Nuclear Power Attack Submarine
SSBM                   – Nuclear Power Ballistic Missile Submarine

Keupayaan kapal selam rata-rata hanya dibataskan oleh bekalan minyak dan anggotanya. SSK yang menggunakan diesel elektrik perlu timbul pada selang masa untuk melakukan pengecasan pada bateri atau pun dijana menggunakan AIP (Air Independent Propulsion). Ini merupakan kekangan pada operasi kapal selam, di mana apabila mereka timbul, telah menghilangkan elemen kejutan dan dapat dikesan oleh radar.

Penggunaan reaktor nuklear untuk propulsi oleh SSBN dan SSBNM, telah membolehkan ianya beroperasi tanpa perlu timbul ke permukaan. Ianya hanya dibataskan oleh bekalan untuk krew kapal selam. Ini merupakan satu kelebihan strategik di mana, pemilikan SSN atau SSBNM membolehkan negara pemilik melakukan “force projection”, iaitu kemampuan untuk beroperasi jauh ke dalam kawasan musuh dan pangkalan hadapan, seterusnya mempunyai pelbagai kelebihan taktikal dan keupayaan cegah rintang ( deterrence) yang lebih baik.

Kapal selam kelas OHIO ditakrifkan sebagai SSBN. Sebahagian kecil daripada ketumbukan kapal selam ini telah diubahsuai sebagai kapal selam peluru berpandu kruis oleh US Navy.

Oleh itu, apabila Australia mengumumkan untuk menggantikan SSK Kelas Collins diesel-elektrik dengan 12 buah SSN yang berkuasakan nuklear, ianya satu tanda aras di mana Australia akan mempunyai keupayaan yang selama ini tidak dimilikinya , iaitu “force projection” di mana Australia mampu beroperasi jauh dari benuanya, dan keupayaan strategik ini adalah sesuatu yang asing untuk Australia yang dilihat tidak agresif dalam dasar luar negaranya. Tetapi, tindakan ini juga dilihat Australia mengambil tindakan selari dengan apa yang dilihat berpotensi mejadi ancaman masa depannya, tidak lain tidak bukan, pembesaran angkatan laut China dan dasar agresif peluasan zon maritim perairan yang dituntut China.

RESPON SERANTAU DAN INDO PASIFIK

Reaksi negara serantau bercampur baur. Ada yang menentang, ada yang menyokong serta ada yang berpendirian neutral. China, melihat penubuhan AUKUS di halakan pada mereka, mengecam penubuhan AUKUS dan mengatakan langkah ini mengancam kestabilan geopolitik dan kestabilan serantau.

Perancis pula memanggil duta mereka dari Australia dan US, memberi kenyataan terbuka akan langkah ini sebagai tikam belakang pada mereka. Malah ada gesaan dari ahli parlimen mereka untuk keluar daripada NATO.

Selain China, Perancis dilihat sebagai negara paling lantang mengkritik penubuhan AUKUS yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan.

Taiwan dan Filipina, di mana kedua negara sedia mempunyai masalah dengan China, menyokong tindakan penubuhan AUKUS

Malaysia, New Zealand dan Indonesia bersiap neutral dan mengkritik penubuhan AUKUS dimana ianya dilihat akan memanaskan suhu pertembungan tuntutan sedia ada, menggalakkan provokasi dan dilihat berupaya menyemarakkan perlumbaan senjata di rantau indo pasifik.

MALAYSIA, BERTINDAK ATAU MEMERHATI?

Malaysia, geografinya terletak di tengah asia tenggara, dan sebagai negara maritim yang luas, mempunyai Laut China Selatan dan Selat Melaka dalam kawalannya, ditakdirkan sebahagian dari zon strategik yang menarik perhatian kuasa besar sejak beratus tahun dahulu.

Berpendirian neutral dan tidak memihak pada mana-mana kuasa besar, dan mempunyai hubungan diplomatik yang baik, serta rekod yang baik di pelbagai platform antarabangsa, dilihat sudah tidak mencukupi untuk menangani ancaman di Indo Pasifik.

Walaupun rantau Asia Tenggara berpegang kepada polisi neutral, kehadiran kapal-kapal perang asing terutamanya dari negara kuasa besar dilihat semakin kerap dan menimbulkan kebimbangan akan berlakunya konflik di Laut China Selatan.

Walaupun berada dalam platform FPDA, ZOPFAN dan pelbagai lagi, Malaysia sudah sepatutnya melihat diplomasi adalah langkah terakhir dalam menjamin kedaulatan negara. Dasar luar negara asing adalah luar kawalan Malaysia.

Apa yang penting, pemerkasaan dan membina keupayaan ATM seharusya diberi perhatian serius, pemodenan TLDM dengan Plan 15 to 5, pemodenan TUDM dengan Pelan CAP 55, penambahan aset-aset strategik seharusnya dipercepatkan. Kapal-kapal perag baru ditambah, pesawat-pesawat tempur terkini dipercepatkan dan ditambah.

Sekurang-kurangnya,pertahanan yang kuat akan menjadi insurans pada kedaulatan dan kuasa asing berfikir dua kali untuk menceroboh wilayah Malaysia, “Gunboat Diplomacy” dan “ speak softly whie carrying a big stick” adalah sesuatu yang masih relevan walaupun telah beratus tahun ianya digunakan. Diharap dengan kestabilan politik dan suhu politik yang reda buat masa ini, membuka mata kerajaan untuk memperkasakan ATM dengan hala tuju yang jelas, tanpa sebarang alasan dan gangguan politik.

Akhir kata, penulis tutup dengan kata-kata hikmah ini :

“Careful preparation and defenses can never guarantee victory. However, ignoring this precautions, is an almost certain recipe for defeat.”

-League Armada Strategy Manual-

 

PENAFIAN:

Air Times News Network tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply