BERA, 28 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi 10 Briged PARA melaksanakan Eksesais Para Predator siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah tiba bagi menyaksikan perasmian eksesais ini pada jam 12.15 tengahari, tadi.
Ismail Sabri berkata, eksesais ini adalah untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Ground (LPBG) di dalam aturgerak 10 Briged PARA bagi melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
Katanya, eksesais yang berlangsung selama 14 hari bermula Selasa lepas, melibatkan aturgerak 1,900 keanggotaan, aset-aset dan logistik TDM.

Panglima 10 Briged PARA, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal sedang menerangkan perincian perjalanan eksesais kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob
“Pendekatan eksesais ini terarah kepada 3 objektif utama iaitu ‘to train’, ‘to project’ dan ‘to educate’,
“Eksesais ini akan mensimulasikan gerakan kemaraan anggota 10 Briged PARA dengan disokong oleh pelbagai jenis aset tempur, termasuklah aset kenderaan tempur dari Kor Armor Diraja (KAD) dan juga jambatan tempur dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD),” katanya pada sidang media selepas lawatan tersebut.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Menurut TDM, eksesais sebegini akan terus dilaksanakan di masa hadapan, bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi formasi tempur TDM, khususnya untuk pasukan elit dan khusus.
“Keanggotaan yang terlibat dalam eksesais ini terdiri daripada pelbagai elemen daripada Markas 10 Briged (PARA), Kompeni Infantri Mekanis, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat tempur 10 Briged PARA,
“Antara aset-aset yang diaturgerakkan pula melibatkan Helikopter LOH milik PUTD, Helikopter EC 725 milik TUDM, kenderaan perisai Adnan, AV8 Gempita, aset jambatan tempur dan Pontoon daripada RAJD serta lain-lain aset,” katanya. – airtimes.my
Galeri gambar: