Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara 13 PATI Indonesia termasuk tekong dicekup cuba menyusup masuk negara

13 PATI Indonesia termasuk tekong dicekup cuba menyusup masuk negara

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 16 Ogos – Hasrat 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk memasuki negara ini melalui lorong tikus tidak kesampaian apabila mereka ditangkap oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Benteng), pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat daripada tim peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah terserempak dengan sekumpulan PATI di Kampung Masjid, Pengerang.

Kemudian, Tim Quick Reaction Force (QRF) diatur gerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pengesanan dan penjejakan serta telah menemui sebuah kenderaan Proton Iriz tanpa pemilik kenderaan.

“Hasil pemantauan yang dibuat oleh Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah membawa kepada penangkapan 11 PATI di sekitar lokasi tersebut,

“Dalam masa sama, pihak Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit turut memaklumkan terdapat sebuah bot yang terbalik di kawasan pantai berhampiran,

“Pada jam 11.00 pagi, 2 orang lagi PATI ditahan sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran,”jelas kenyataan itu.

Menurutnya, kesemua 12 PATI dan seorang tekong merupakan lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 48 tahun dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

“Keseluruhan rampasan berjumlah RM 25,114.00 melibatkan sebuah kenderaan Proton Iriz dan telefon bimbit,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” tambahnya.

Pihak 3 Divisyen menjelaskan, pasukannya akan meneruskan atur gerak tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan dibuat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply