Home PolitikPakatan Harapan PH ulangi pendirian sokong Anwar jadi PM

PH ulangi pendirian sokong Anwar jadi PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian bahawa mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden PH menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersama menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.

“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Muhyiddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil,

“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional (PN) menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti,

“Ini supaya sebarang pengambil alihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” katanya.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tambahnya, setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“PH juga tidak bersetuju untuk sebarang Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan terutama ketika pandemik memuncak. Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023,” ujarnya.

Jelasnya, rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak COVID-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply