Home PolitikPakatan Harapan Sidang Khas Parlimen: PH gesa bentang situasi pendidikan negara

Sidang Khas Parlimen: PH gesa bentang situasi pendidikan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Jul – Pakatan Harapan (PH) menggesa agar pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu dimasukkan dalam agenda persidangan khas Parlimen yang akan berlangsung selama 5 hari bermula Isnin depan.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam kenyataannya berkata, sidang itu amat penting untuk rakyat melalui ahli Parlimen mereka untuk mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan.

Bagaimanapun, JKPPH dukacita apabila dalam aturan tersebut hanya pembentangan dalam bentuk penerangan menteri mengenai perancangan kerajaan berkait dengan program pencegahan COVID-19, program vaksinasi, darurat dan Pelan Pemulihan Negara sahaja tanpa ada pembentangan mahupun perbahasan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah KPM serta KPT.

“JKPPH mengambil maklum pengumuman Yang DiPertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat berkaitan Persidangan Khas Parlimen yang akan diadakan mulai 26 Julai 2021 sehingga 2 Ogos 2021 berdasarkan notis aturan mesyuarat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bagi memaklumkan agenda Persidangan Khas Parlimen kepada semua Ahli Parlimen,

“Bagaimanapun, JKPPH berpandangan isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak COVID-19 sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas ini,” menurut kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Pengerusinya, Dr Maszlee Malik yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

Sehubungan itu, JKPPH menuntut agar persidangan khas Parlimen yang berlangsung nanti memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.

Selain itu, Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT, bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.

“JKPPH ingin menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT pada waktu ini dilihat sebagai hilang arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara,

“Ketiadaan pembentangan daripada kedua-dua kementerian ini dalam sidang khas Parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut,” tambah kenyataan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply