Home Pertahanan dan Keselamatan DMZ HAT Tuanku Mizan terima 20 buah kipas industri

DMZ HAT Tuanku Mizan terima 20 buah kipas industri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima 20 buah kipas industri untuk kegunaan petugas barisan hadapan yang menguruskan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Tuanku Mizan).

Markas ATM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, kipas industri tersebut telah disumbangkan oleh sebuah Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional (SARJANA) yang berkerjasama dengan IMPACT Malaysia.

Bekalan sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi SARJANA merangkap Lembaga Pemegang Amanah IMPACT Malaysia, Datuk Khaidiriah Datuk Seri Abu Zahar kepada Ketua Unit Kawalan Jangkitan HAT Tuanku Mizan, Brigedier Jeneral Dr Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal, semalam.

“Sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah sepanjang tugasan serta pengoperasian dalam berhadapan penularan pandemik COVID-19,

“ATM amat berterima kasih kepada pihak SARJANA dan IMPACT Malaysia diatas sumbangan yang diberikan,

“Diharapkan sumbangan ini dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan untuk terus kekal tabah menjalankan tugas demi bangsa dan negara,” jelas hantaran itu.

Jumaat lalu, ATM telah mengaktifkan DMZ di HAT Tuanku Mizan bagi menampung keperluan rawatan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, DMZ HAT Tuanku Mizan telah diaktifkan di kawasan tempat letak kenderaan di hospital tersebut yang sememangnya digazetkan sebagai DMZ.

“DMZ direka khas semasa awal pembinaan HAT Tuanku Mizan bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi,

“Ia turut disokong dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan lain-lain bantuan sokongan perubatan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply