Home Politik PEJUANG nafi kerjasama dengan BERSATU

PEJUANG nafi kerjasama dengan BERSATU

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) menafikan sekeras-kerasnya laporan yang mengatakan parti itu akan kembali menjalankan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Penerangan PEJUANG, Ulya Aqamah Husamudin berkata, tuduhan ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan berita palsu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Terdapat beberapa cubaan dari pelbagai pihak yang cuba mencalar reputasi dan memberi persepsi seolah-olah PEJUANG akan bekerjasama dengan BERSATU kembali,

“Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PEJUANG telah berkali-kali dengan tegas menolak dakwaan ini,

“Biro Politik PEJUANG juga tidak pernah berbincang mengenai kerjasama ini dan fokus kepada perbincangan menangani COVID-19 dalam kerangka Majlis Pemulihan Negara yang dicadang oleh parti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata, tuduhan kerjasama ini juga tidak munasabah, ini kerana jika PEJUANG berniat untuk bekerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN), mereka tidak perlu bertungkus lumus berusaha mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Lebih baik sahaja kami kembali pada parti lama,

“Terdapat juga konspirasi mengenai pendaftaran PEJUANG yang cuba disensasikan oleh beberapa pihak,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa pendaftaran PEJUANG pada 8 Julai adalah selari dengan keputusan mahkamah yang memberi 14 hari kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat keputusan kepada rayuan pendaftaran kami.

“Tiada perbincangan belakang atau pencaturan politik, keputusan ini adalah hasil keputusan mahkamah,

“Sekali lagi dengan tegas, PEJUANG menyatakan pendirian bahawa dakwaan kerjasama antara BERSATU adalah tidak benar,” ujarnya lagi.

Tambahnya, PEJUANG hanya fokus berbincang untuk cari jalan penyelesaian kepada COVID-19 dan masalah kesihatan, ekonomi serta sosial yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply