Home Semasa 204 petugas PPV IDCC Shah Alam positif COVID-19

204 petugas PPV IDCC Shah Alam positif COVID-19

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=i1RJBzdMahA[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, seramai 204 petugas pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam, Selangor disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata, seramai 453 orang petugas telah diarahkan untuk membuat ujian saringan sebaik sahaja Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mendapat laporan mengenai 2 sukarelawan yang disahkan positif.

“Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai 2021 melibatkan kesemua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini, sebanyak 204 petugas telah didapati positif,

“Keputusan RT-PCR telah menunjukkan kesemua yang positif mempunyai Ct lebih daripada 35 di mana mereka mempunyai load virus yang rendah,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, hari ini.

Untuk rekod, sejumlah 88 peratus atau 400 orang petugas di PPV IDCC telah divaksinkan manalaka 12 peratus atau 153 lagi petugas masih belum menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada pukul 11 malam semalam (12 Julai) daripada makmal Institut Genome Malaysia (MGI), beliau telah mengarahkan perkara-perkara ini dibuat iaitu penutupan IDCC serta merta selama satu hari hari ini.

“Penutupan ini supaya kerja-kerja sanitasi dijalankan oleh pihak bomba. PPV IDCC akan dibuka semula pada hari esok,

“Memaklumkan kepada mereka yang mempunyai janji temu hari ini mengenai penutupan ini melalui makluman sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial. Kesemua mereka sudah pun mendapat tarikh janji temu baharu,” ujarnya.

Khairy turut mengarahkan petugas CITF untuk pergi ke IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan ini agar mereka hadir pada tarikh baharu yang telah diberi.

“Mengasingkan semua petugas IDCC sebelum ini dan menukar dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi untuk jangkitan dapat dikurangkan,

“Mengarahkan National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC,” jelasnya.

Selain itu, Khairy berkata, CITF akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya.

“Oleh itu, saya ingin menyeru orang ramai untuk hadir ke janji temu mereka di PPV IDCC seperti biasa selepas ini di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal sepanjang masa,

“Orang ramai juga perlu datang mengikut masa yang diberikan dan tidak terlalu awal serta pastikan terus pulang selepas selesai urusan vaksinasi bagi meminimumkan masa pendedahan di kawasan umum,” katanya lagi.

Selain itu, Khairy turut mengarahkan PPV lain untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

“Kami sedang mempertimbangkan langkah yang lebih tegas di semua PPV lain dan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa,

“Saya telah meminta semua PPV lain sekiranya mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan untuk serta merta (real time) memaklumkan kepada CITF Pusat agar kami dapat membantu dengan segera.

Mengulas lanjut, beliau berkata berikutan angka kes jangkitan COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang, adalah sukar untuk kita pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain.

“Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, CITF menyarankan kepada mereka yang telah hadir bagi vaksinasi di IDCC pada 9 Julai daripada pukul 4 petang untuk memantau gejala selama 10 hari.” Jelasnya lagi. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply