Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM sedang bina 14 pos kawalan sempadan Malaysia Timur, kekang kemasukan PATI

ATM sedang bina 14 pos kawalan sempadan Malaysia Timur, kekang kemasukan PATI

by Air Times News Network

SARAWAK, 3 Jul – Sebanyak 14 pos kawalan baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dibina di Malaysia Timur bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di persempadanan Sarawak-Kalimantan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, pembinaan pos kawalan baharu ini melalui 3 fasa yang telah bermula pertengahan tahun ini dan dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2022.

“Antara tujuan lain pos-pos kawalan dibina adalah bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan mengimbangi penempatan pos-pos Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI – AD),

“Melalui projek ini juga, kawalan sempadan negara dapat dipertingkat dan diperketatkan serta memperkasakan keupayaan operasi ATM khususnya TDM dalam usaha mematah cubaan dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” kata hantaran itu.

Tapak pos kawalan yang sedang dibina. Foto: TDM

Menurutnya, bagi aspek peningkatan kawalan persempadan ini juga dilihat selari dengan usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di kalangan PATI yang cuba ceroboh masuk ke Malaysia.Kini, menerusi fasa pertama, 4 buah pos baharu sedang dibina di Bau, Sungai Paoh dan Lubok Antu.

Semalam, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah meninjau pelaksanaan pembinaan pos-pos tersebut bagi memastikan projek tersebut mengikut perancangan.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Yaakob juga menyatakan kerajaan akan membina pos-pos kawalan baharu di Malaysia Timur bagi mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertahanan, Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply