Home Semasa Serba Dinamik peruntuk RM2.13juta program kebajikan di 6 negeri

Serba Dinamik peruntuk RM2.13juta program kebajikan di 6 negeri

by Bernama

KUALA LUMPUR – Serba Dinamik Holdings Bhd telah memperuntukkan RM2.13 juta sebagai perbelanjaan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) bagi tempoh Jun hingga Disember 2021, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ir Mohd Abdul Karim Abdullah.

Beliau berkata, aktiviti CSR kumpulan itu memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan semantik am melalui satu pasukan khas yang dipanggil Serba Care.

“Pasukan Serba Care mengadakan aktiviti CSR yang membantu membasmi kelaparan dan malnutrisi, mempromosikan pendidikan serta penjagaan kesihatan, membantu golongan yang memerlukan, menyokong persekitaran yang mampan dan projek pembangunan luar bandar.

“Mulai Jun hingga Disember 2021, syarikat menyediakan aktiviti CSR ke enam negeri iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Johor, Terengganu dan Melaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Abdul Karim lagi, sebelum sesuatu projek CSR dilancarkan, kajian dan penyelidikan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti komuniti yang memerlukan pembangunan serta bantuan.

Syarikat juga berinteraksi dengan pihak berkepentingan dan Lembaga Pengarah untuk memastikan projek-projeknya dijalankan dengan berkesan dari awal hingga pelaksanaan, katanya.

Di bawah Pasukan Serba Care, kakitangan syarikat juga memainkan peranan dengan memberi kembali kepada masyarakat dengan menyertai pelbagai aktiviti atau projek.

“Antaranya membabitkan program yang dijalankan semasa pandemik Covid-19, yang mana pekerja secara sukarela membantu mempromosikan penjagaan kesihatan, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta warga tua di Malaysia.

“Aktiviti atau projek lain merangkumi pembekalan topeng perubatan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) kepada semua tapak kuarantin, hospital dan klinik di negeri-negeri berkenaan.

Selain itu, Mohd Abdul Karim berkata, Serba Dinamik turut memberikan bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin, yang mana dana yang dikutip daripada pelbagai cawangan syarikat dalam negara diserahkan kepada badan bukan kerajaan masing-masing.

Tahun lepas, Serba Dinamik merangkul anugerah Syarikat Terbaik Tahun ini di bawah kategori Perkhidmatan Kejuruteraan serta Penyelesaian Minyak dan Gas pada Anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2020. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply